BENCANA banjir yang melanda Semenanjung pada pertengahan Disember lalu memberi kesan kepada kesihatan mental rakyat, yang mana banyak kediaman dan premis yang rosak dan musnah selain meragut nyawa puluhan penduduk di negara ini.
Antara negeri terjejas termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah.
Lantaran itu, kerajaan mengambil inisiatif memberikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) banjir sebanyak RM1,000 kepada mangsa yang terjejas dengan bencana ini.
Manakala, bantuan sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada keluarga mangsa yang menghadapi kematian akibat banjir (untuk setiap individu yang terkorban).
Meskipun BWI sedikit sebanyak mengurangkan beban mangsa banjir, namun masih ada lagi yang mendakwa tercicir, meskipun hampir sebulan bencana itu melanda kawasan perumahannya di Jalan Gajah 16, Shah Alam, Selangor.
Perkara itu terjadi kepada seorang wanita yang mendakwa, dia masih belum lagi menerima bantuan itu walaupun menjadi antara terawal menghantar borang permohonan BWI.
Menerusi hantaran di laman Facebook, pengguna dikenali Kaklong Aini mendakwa, ramai mangsa lain yang sudah dapat membeli barang keperluan masing-masing, sedangkan pihaknya masih belum dihubungi oleh pihak berwajib.
Dakwanya, ada mangsa lain yang hanya mengalami banjir paras buku lali selain air tidak memasuki kediaman mereka, namun terus menerima bantuan sebanyak RM2,000.
"Memang rezeki mereka tak dinafikan, habis bagaimana kami yang terkesan?" soalnya.
TANGKAP layar luahan Kaklong Aini yang masih tidak dapat menerima bantuan BWI di laman Facebook.
Tambahnya, pejabat tanah hanya meminta pihaknya untuk menunggu panggilan apabila ditanya berkaitan status bantuan itu.
"Perlu sabar ke tidak pasti dapat apa ke tak. Cuma nak tahu? Sampai bila nak kena tunggu panggilan?
"Kenapa nak perlu buat tapisan? Sedangkan kawasan kami Gajah 16 tenggelam teruk?
"...nak kata sedang buat semakan, nak semak apa lagi? Berapa banyak yang dah dapat?" soalnya kesal.
Luahnya lagi, banyak keperluan yang perlu diperbaiki akibat banjir berkenaan, yang mana hampir 90 peratus barangan dalam rumahnya musnah selain kenderaan yang digunakannya turut mengalami nasib sama.
Dia turut mempersoalkan siapa pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam isu tersebut memandangkan borang bantuan itu telah lama dihantar.
"Mohon ulas atau panjangkan pada yang berwajib. Bukti apa lagi yang harus kami tampilkan?" soalnya lagi.
Majoriti mendapati, hantaran itu bagaimanpun sudah dipadam oleh pemiliknya tidak lama kemudian.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agihan bantuan banjir Keluarga Malaysia selain BWI berjumlah RM1,000 akan diberikan bermula 10 Januari.
Bantuan itu melibatkan wang tunai RM2,500 untuk pembelian barangan keperluan rumah, baucar tunai RM500 bagi pembelian barangan elektrik dan baucar tunai RM1,000 untuk pembaikan kenderaan yang terkesan banjir.
Selain itu, ia turut melibatkan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.
Perdana Menteri berkata, daripada segi penerimanya, kerajaan boleh dikatakan telah mempunyai hampir semua nama ketua isi rumah (KIR) yang layak.
“Mungkin ada yang tertinggal, itu kita minta mangsa terlibat supaya mendaftarkan diri mereka di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah masing-masing,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram