SEBAHAGIAN penduduk di beberapa kampung di Lanchang, Pahang menyuarakan rasa tidak puas hati apabila nama mereka tercicir dalam senarai penerima bantuan mangsa banjir yang melanda kediaman mereka baru-baru ini.
Beberapa penduduk di Kampung Insaf, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Indah di Lanchang memberitahu bahawa mereka hairan kali ini nama tidak tersenarai dalam rekod penerima bantuan sedangkan rumah mereka juga terjejas teruk ekoran banjir.
Menurut salah seorang penduduk dari Kampung Insaf yang hanya mahu dikenali sebagai Lia, dia bingung kenapa namanya tidak disenaraikan sebagai penerima bantuan sedangkan sebelum ini perkara itu tidak pernah berlaku.
"Kampung Insaf sudah setiap tahun dilanda banjir dan sebelum ini nama saya tidak pernah tercicir daripada menerima bantuan.
"Namun, kali ini untuk bantuan tunai RM1,500, nama saya dan beberapa penduduk yang terjejas tidak tersenarai semasa serahan bantuan yang berikan baru-baru ini," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, dia hairan kerana semasa di Pusat Perpindahan Sementara (PPS), dia sudah mengisi borang permohoan bantuan yang diberikan dan diserahkan kepada sukarelawan bertugas.
Katanya lagi, tidak hanya itu, rumahnya yang teruk terjejas telah dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin semasa membuat kunjungan ke lokasi terjejas banjir baru-baru ini.
Kongsinya lagi, apabila dirujuk kepada pihak yang menguruskan permohonan bantuan, mereka 'lepas tangan' dan menjawab tidak tahu manakala apabila dirujuk kepada penghulu pula, mereka diminta untuk isi borang semula.
"Saya dan beberapa peduduk ada ke balai polis untuk membuat laporan tentang perkara berkenaan (nama tercicir) tetapi mereka tidak mahu menerima aduan dan menyuruh kami rujuk pihak penghulu.
"Kami pun tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana dalam situasi ini kami sangat teruk terjejas ekoran banjir, penghulu juga hanya beritahu supaya isi borang sekali lagi untuk disenaraikan dalam pemberian fasa kedua yang masa agihan belum ditentukan lagi," ujarnya.
Majoriti turut berhubung dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang bagi mendapatkan penjelasan tentang isu nama bantuan yang tercicir.
Menurut Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin, urusan bantuan tunai banjir merupakan bidang kuasa pejabat daerah masing-masing.
"Pihak JKM bertanggungjawab menguruskan PPS dan menyediakan bekalan makanan ke PPS semasa banjir.
"Bantuan Pasca Banjir khususnya Bantuan Wang Ihsan diuruskan oleh pejabat daerah masing-masing," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram