Banjir sudah surut, tapi bantuan belum dapat? Ini jawapan PBT


  • Massa
  • Khamis, 20 Jan 2022

PROSES permohonan bantuan banjir antara lain perlu melalui tapisan sebelum bantuan dapat diserahkan kepada penerima layak. — Gambar hiasan / Bernama

BERIKUTAN banjir yang melanda beberapa negeri dalam negara hujung tahun lalu, kerajaan persekutuan juga negeri masing-masing mengumumkan pelbagai jenis bantuan bagi meringankan beban mangsa.

Mangsa banjir di Selangor pastinya sedikit lega apabila dijanjikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan persekutuan serta Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sumbangan kerajaan negeri setelah rumah dan harta-benda musnah ekoran bencana tersebut.

Namun, bagi penduduk kawasan Taman Semarang Indah, Dengkil, penantian mereka ibarat menunggu bulan jatuh ke riba apabila bantuan yang dijanjikan masih tidak diterima walaupun banjir sudah lama surut.

Bantuan bagi penduduk Dengkil adalah di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Ada penduduk yang mendakwa proses penyerahan dan pengumpulan borang yang dibuat di beberapa peringkat menyebabkan berlaku keciciran borang permohonan, selain kawasan mereka tidak tersenarai sebagai penerima BSB.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Sri Dengkil, Lee Kan Ming yang menegaskan tidak terdapat isu borang hilang dan pihaknya kini sedang dalam proses penyerahan bantuan kepada penduduk di kawasan terbabit.

“Mustahil terdapat borang hilang kerana kami sudah menghantar borang ini sebanyak dua kali kepada Pejabat Daerah, kali pertama pada 3 Januari dan selepas itu pada 10 Januari 2022.

“Saya sendiri sudah bertemu dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri dan mereka memberitahu bahawa pembayaran akan dilakukan selewat-lewatnya dua minggu,” katanya kepada Majoriti.

Katanya, kerajaan negeri melaksanakan pembayaran bantuan mengikut fasa dan ketika ini sedang memfokuskan pemberian bantuan buat rumah teres terlebih dahulu.

Jelasnya, penyerahan bantuan kepada mangsa yang menetap di rumah jenis strata seperti apartmen dan kondominium pula akan dilaksanakan kemudian.

Bagaimanapun, Kan Ming katanya, kekeliruan mungkin berlaku apabila terdapat rumah sewa yang kedua-dua pemilik serta penyewanya membuat tuntutan.

“Sepatutnya, hanya penyewa yang layak menerima bantuan kerana mereka adalah mangsa.

“Apabila pemilik rumah turut membuat tuntutan, proses pembayaran akan mengalami kelewatan kerana pihak Pejabat Daerah perlu menjalankan siasatan.

Perkara itu turut disahkan oleh seorang pegawai MPSepang lain yang tidak mahu namanya disiarkan.

Menurutnya, proses tapisan sedikit terganggu akibat terdapat dua permohonan bagi satu rumah, menyebabkan pihaknya terpaksa melakukan siasatan lanjut.

“Untuk bantuan ini, kerajaan negeri menetapkan bahawa penyewa adalah mangsa, jadi mereka yang layak membuat tuntutan,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa Taman Semarang Indah tidak tersenarai dalam penyerahan Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Beliau berkata, pihaknya kini sudah melakukan proses tapisan dan akan menyerahkan bantuan secepat mungkin.

“Buat masa ini memang kami belum masuk ke kawasan Dengkil lagi kerana kami tidak boleh melakukan proses penyerahan bantuan secara serentak di semua kawasan akibat kekurangan tenaga pekerja.

“Untuk Dengkil, kami akan buat secara besar-besaran sedikit masa lagi kerana ia merupakan kawasan yang paling banyak terjejas,” katanya.

Tambah pegawai itu, pihaknya kini sudah menyelesaikan penyerahan bantuan di 80 peratus kawasan Sepang.

Majoriti pada Rabu melaporkan rungutan yang disuarakan penduduk Taman Semarang Indah berikutan kelewatan bayaran bantuan mangsa banjir yang dijanjikan kepada mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram