UNVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menyalurkan sumbangan kebajikan bernilai lebih RM10 juta sepanjang tahun lepas kepada pelajar universiti itu dari golongan asnaf dan B40.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof Dr Razli Che Razak berkata, bantuan itu termasuk sumbangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan agensi terlibat seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Agrobank dan Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR).
"Peruntukan itu merangkumi sumbangan dalam bentuk wang tunai, bantuan kotak makanan atau hamper serta bantuan dalam bentuk peranti.
"Sumbangan ini bertujuan untuk melihat kebajikan pelajar UMK lebih terjaga dan terpelihara bagi memastikan kualiti kehidupan dan pembelajaran mereka dalam keadaan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya turut memberi sumbangan bernilai RM45,930 kepada seramai 139 pelajar yang terkesan banjir di seluruh negara sehingga 14 Januari lalu.
Katanya, selain wang tunai, hamper dan peranti, UMK juga melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah pelajar yang dilanda bencana itu di kawasan berhampiran kampus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram