HARGA perlindungan takaful atau insurans untuk bencana banjir tidak akan meningkat, malahan tetap terkawal sekiranya ramai yang membeli polisi tersebut untuk melindungi kediaman dan kenderaan.
Menurut Lembaga Pengarah Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Zainudin Ishak, ketika ini sambutan terhadap perlindungan takaful atau insurans bagi bencana itu sangat rendah kerana masyarakat kurang kesedaran dan tidak memberi penekanan terhadap keperluan memiliki perlindungan itu.
“Lebih ramai menyertai perlindungan takaful atau insurans akan menyebabkan harga lebih murah berikutan persaingan syarikat-syarikat insurans untuk menyediakan perkhidmatan dan menawarkan pakej produk yang menarik,” katanya pada sesi webinar bertajuk ‘Kepentingan Insurans/Takaful Banjir,’ anjuran bersama antara Jaringan Pendidikan Kewangan, PIAM dan Persatuan Takaful Malaysia, pada Khamis.
Beliau berkata, fenomena banjir bukanlah sesuatu yang baharu, malah menurut kajian, ia akan kembali berlaku disebabkan perubahan cuaca, kepanasan global dan kesesakan pembangunan infrastruktur.
“Jadi, kita perlu mengetahui betapa pentingnya perlindungan takaful atau insurans banjir tidak kira di mana kita tinggal, sama ada tinggi atau rendah kerana kesan terhadap harta benda serta kerugian pasca banjir tidak dapat dijangka.
“Mungkin jika kita tinggal di kawasan lebih tinggi, kebarangkalian paras air naik tidak menjejaskan kita, namun, harta benda lain seperti kereta, motosikal, kita tidak tahu,” katanya.
Selain itu, masyarakat juga perlu sedar kerajaan berdepan kekangan untuk memberi bantuan akibat banjir kerana ramai mangsa memerlukan perhatian dan sokongan, kata Zainudin yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Reinsurance Bhd.
“Kerugian harta benda akibat bencana bukanlah sedikit, malah mencecah berbilion ringgit.
“Semasa banjir tahun lepas, kos pembaikan kenderaan akibat banjir berdasarkan anggaran pihak industri insurans adalah RM1.3 bilion, dan daripada jumlah ini, kurang daripada lima peratus mangsa mengambil polisi perlindungan banjir.
“Jadi, kalau kita tidak mempunyai perlindungan, tiada peluang untuk buat tuntutan. Semua kos perlu ditanggung sendiri. Lebih baik kita ambil peluang ini untuk menyediakan perlindungan demi jaminan kita pada masa hadapan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram