KERAJAAN perlu mempertimbangkan pembangunan platform yang berpandukan kepada data supaya sistem maklumat dan bantuan musibah lebih bersifat mesra pengguna serta menyeluruh.
Perkara tersebut disarankan oleh Ketua Pegawai Informasi Aeronerve, Ahnaf Ab Qais yang percaya pembangunan atau integrasi platform sedemikian boleh memberi manfaat kepada semua pihak.
Katanya, dalam pembangunan platform, ia sebaiknya memberi manfaat bukan sahaja kepada mangsa banjir tetapi mereka yang ingin menyalurkan bantuan kepada mereka.
"Platform yang berpandukan kepada data dapat memberi solusi jangka panjang kepada kerajaan untuk berdepan dengan situasi musibah yang melanda negara.
"Bagi situasi banjir, data awal (prediction model) seperti lokasi berpotensi, mangsa banjir dan jangkaan cuaca dapat membantu dalam persediaan kerajaan menjangkakan peruntukkan bagi bantuan dan seterusnya menguruskan agihan dengan lebih baik," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, data berkenaan juga perlu dikongsi rata atau mudah akses (data bukan privasi) supaya pihak yang ingin menyalurkan bantuan dapat merujuk dan menyampaikan bantuan kepada saluran yang betul.
Cadangnya lagi, platform bantuan mangsa banjir juga perlu dikemas kini agar lebih mesra pengguna yang berbeza latar belakang.
Jelasnya, platform sedia ada boleh dintegrasi bukan sahaja senang untuk diakses tetapi mudah digunakan oleh pengguna.
"Dalam soal pemohonan, ia perlu memudahkan pengguna kerana bukan semua yang arif tentang sistem dalam talian.
"Satu prosedur operasi standard (SOP) boleh dirangka berpandukan data tepat agar ia boleh dijadikan modul yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak secara menyeluruh," ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan yang disuarakan penduduk Taman Semarang Indah, Dengkil Selangor berikutan kelewatan bayaran bantuan mangsa banjir yang dijanjikan kepada mereka.
Untuk rekod, Aeronerve merupakan syarikat pembangunan sistem aplikasi dan perkhidmatan berasaskan Unmanned Aerial Vehicle (UAV). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram