KERAJAAN Pahang memberi pengecualian bayaran bil air selama tiga bulan bagi penduduk kawasan yang terjejas banjir di negeri itu bermula Januari.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengecualian itu melibatkan lebih 40,000 rumah dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.5 juta.
"Pengecualian bayaran bil air yang dipersetujui melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) itu diharapkan dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir terutamanya bagi membantu mereka membersihkan kediaman masing-masing yang terjejas akibat bencana itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kerajaan negeri memahami kesukaran yang terpaksa dilalui mangsa selepas harta benda mereka musnah akibat banjir.
"Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan kepada mangsa banjir termasuklah Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan kepada penyewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) yang terjejas," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram