PENDUDUK Taman Semarang Indah di Dengkil, Selangor yang sebelum ini dikatakan tercicir daripada menerima bantuan banjir, kini menarik nafas lega selepas kawasan perumahan mereka akhirnya disenaraikan dalam agihan bantuan yang akan diadakan Sabtu ini.
Berita baik itu dikongsikan seorang penduduk dikenali sebagai Ali selepas berita keluhan nasib penduduk yang masih belum menerima bantuan berkenaan, disiarkan di portal Majoriti pada Rabu.
Ali berkata, dia mendapat maklumat awal berhubung pengagihan bantuan itu menerusi hebahan yang dibuat di Facebook Pejabat Penerangan Daerah Sepang, Selangor pada Khamis.
"Saya dapat tahu di Facebook, namun dalam makluman itu, tidak dinyatakan sama ada Taman Semarang Indah tersenarai atau tidak.
"Dinyatakan bahawa penyerahan adalah mengikut sesi pagi dan petang Sabtu dan penduduk terlibat akan diberitahu melalui pesanan ringkas yang dihantar ke nombor telefon bimbit," katanya kepada Majoriti.
Ali berkata, dia akhirnya dihubungi wakil Pejabat Daerah Sepang pada petang Khamis dengan memaklumkan bahawa penduduk Taman Semarang Indah akan menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) itu pada sesi pagi bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Sesi penyerahan Bantuan Fasa 2 (Batch 5) itu akan dilaksanakan di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi kepada ketua isi rumah yang berdaftar.
Pada masa sama, penduduk Taman Semarang Indah berterima kasih kepada Majoriti kerana telah membawa isu kelewatan dan keciciran pembayaran bantuan banjir untuk perhatian pihak bertanggungjawab.
"Alhamdulillah, kami dah dapat (bantuan). Jasa pihak Majoriti juga kerana ketengahkan isu ini," katanya.
SENARAI kawasan perumahan termasuk Taman Semarang Indah yang bakal menerima agihan bantuan banjir pada Sabtu ini.
Majoriti sebelum ini melaporkan, ada penduduk yang mendakwa proses penyerahan dan pengumpulan borang yang dibuat di beberapa peringkat menyebabkan berlaku keciciran borang permohonan, selain kawasan mereka tidak tersenarai sebagai penerima BSB.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Sri Dengkil, Lee Kan Ming yang menegaskan tidak terdapat isu borang hilang dan pihaknya kini sedang dalam proses penyerahan bantuan kepada penduduk di kawasan terbabit.
Malah, dakwaan yang mengatakan bahawa Taman Semarang Indah tidak tersenarai dalam penyerahan BSB juga dikatakan tidak benar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram