[VIDEO] Angka korban serangan udara Israel di Lubnan meningkat


  • Benua
  • Ahad, 22 Sep 2024

Serangan pada Jumaat meruntuhkan dua bangunan di daerah Dahiya, ibu kota Lubnan ketika waktu puncak dan lebih 60 penduduk. — Agensi

ANGKA kematian akibat serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut meningkat kepada 38 orang, termasuk tiga kanak-kanak dan tujuh wanita, kata pihak berkuasa Lubnan.

Menteri Kesihatan, Firass Abiad berkata, serangan pada Jumaat yang meruntuhkan dua bangunan di daerah Dahiya, ibu kota Lubnan ketika waktu puncak itu turut mencederakan lebih 60 penduduk.

"Tiga kanak-kanak yang terbunuh masing-masing berumur empat, enam dan 10 tahun, manakala pasukan penyelamat masih mencari 17 orang lain di bawah runtuhan," katanya pada Sabtu.

BACA LAGI: Tolak tepi kos terbit majalah, binaTech gigih sumbang ilmu teknologi pembinaan

BACA LAGI: [VIDEO] Israel dilapor sedia serang Lubnan

Sementara itu, wartawan Al Jazeera, Dorsa Jabbari melaporkan bahawa operasi menyelamat mungkin berterusan untuk sehari lagi.

“Masih ada rasa terkejut dan ketakutan (di sini).

“Banyak kedai di kawasan ini ditutup, semakin ramai memilih untuk mengemas barang dan pergi dari sini,” tambahnya.

Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan, Ali Hamieh memberitahu Al Jazeera Arabic bahawa pengeboman bangunan kediaman tersebut merupakan jenayah perang dan Israel sedang mengheret rantau itu ke dalam kancah peperangan.

Jurucakap tentera Israel pada Sabtu berkata, mereka telah melancarkan serangan bersasar terhadap pasukan elit Hezbollah, Radwan di pinggir bandar Beirut.

Katanya, sekurang-kurangnya 16 pejuang Hezbollah terbunuh dalam serangan tersebut.

Hezbollah dalam pada itu turut mengesahkan bahawa dua komander tertingginya, Ibrahim Aqil dan Ahmad Mahmoud Wahabi, bersama 12 lagi anggota lain telah terbunuh.

Pada Julai lalu, serangan udara Israel telah membunuh Fuad Shukr, komander tentera tertinggi kumpulan itu.

Menteri Dalam Negeri, Bassam Mawlawi berkata, Lubnan memasuki fasa 'penentu' selepas serangan ke atas pinggir bandar kediaman itu.

Bassam dalam satu sidang media pada Sabtu menjelaskan bahawa segala usaha mesti dilakukan untuk menghalang pelanggaran lanjut ke atas wilayah Lubnan dan mengelakkan kemerosotan keadaan keselamatan.

lubnan1

Pasukan penyelamat masih mencari 17 orang lain di bawah runtuhan.Agensi

Insiden letupan alat kelui (pager) dan 'walkie talkie' di Lubnan pada Selasa dan Rabu lalu, membunuh sekurang-kurangnya 39 individu dan mencederakan hampir 3,000 yang lain.

Sehubungan itu, Hezbollah berkata, mereka melancarkan puluhan roket ke pangkalan udara Ramat David, di timur Haifa, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan orang awam di Lubnan, dengan siren diaktifkan di seluruh utara Israel.

Jika disahkan, ia akan menjadi serangan paling jauh ke dalam Israel, yang dicapai oleh kumpulan itu sejak permulaan pertempuran yang berlangsung sejak Oktober tahun lepas.

Tentera Israel berkata, sebanyak 10 roket dilancarkan dari Lubnan namun kebanyakannya berjaya dipintas.

Hezbollah juga telah melancarkan puluhan roket balas ke utara Israel sepanjang Sabtu.

Selama hampir setahun selepas Israel menyerang Gaza, pejuang Hezbollah di Lubnan bertukar-tukar tembakan rentas sempadan dengan tentera Israel, tetapi pertempuran itu meningkat sejak akhir Ogos.

Agensi Berita Kebangsaan Lubnan melaporkan bahawa pesawat perang Israel telah melancarkan serangan udara berskala besar pada petang Sabtu di selatan Lubnan.

Kira-kira 90 roket ditembak ke utara Israel dari Lubnan dan mereka telah menyerang lebih daripada 400 pelancar roket di Lubnan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada terdapat kematian atau kecederaan dalam serangan balas tersebut.

Menurut Jabbari, pertempuran tersebut adalah yang paling sengit sejak kedua-dua pihak mula bertempur rentas sempadan pada 8 Oktober, sehari selepas Israel memulakan perang terbaharunya ke atas Gaza.

Tentera Israel mengumumkan garis panduan keselamatan yang dikemas kini untuk kawasan utara Haifa, termasuk had perhimpunan 30 orang di ruang terbuka dan 300 di ruang tertutup.

Serangan Israel ke atas Lubnan mempunyai implikasi serius terhadap undang-undang antarabangsa, kata Ibrahim Fraihat, profesor penyelesaian konflik antarabangsa di Institut Pengajian Siswazah Doha.

“Apa yang kita lihat di Lubnan membawa kepada tahap tidak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang baharu.

"Melihat respons Barat yang senyap, menandakan pelanggaran ini sedang dinormalisasi," katanya.

Beliau memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan di Lubnan akan mengalihkan perhatian dari Gaza, membenarkan lebih banyak pelanggaran hak asasi manusia berlaku di wilayah Palestin itu.

Menurut wartawan Al Jazeera, Zein Basravi, yang melaporkan dari Jordan, hampir setahun selepas serangan ke atas Gaza, Israel percaya ia boleh menjejaskan kumpulan Lubnan tersebut dengan cara 'meningkatkan tekanan'.

“Mereka berpendapat bahawa memaksa Hezbollah dengan menakut-nakutkan mereka melalui serangan tentera di pelbagai kawasan, dengan pelbagai tahap kekuatan, akan memaksa mereka melakukan beberapa jenis pengunduran taktikal,” tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram