[VIDEO] Malaysia kecam tindakan guna peranti komunikasi jadi senjata kes letupan di Lubnan


  • Primer
  • Khamis, 19 Sep 2024

Tangkap layar insiden letupan berlaku di Lubnan yang mengorbankan sebanyak sembilan nyawa setakat Selasa.

MALAYSIA amat bimbang dengan penggunaan peranti komunikasi sebagai bahan letupan di seluruh Lubnan sejak Selasa lalu yang telah meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa dan mencederakan lebih 3,300 orang.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan siber berkenaan yang telah menggugat keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara tersebut.

“Malaysia bersolidariti dengan Lubnan dalam krisis ini dan akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam meredakan situasi yang sedia tegang,” menurut kenyataan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Pameran 15,000 'teddy bear' karya Bachir Mohammad lambang nyawa kanak-kanak melayang di Gaza

BACA LAGI: Pengerusi Eksekutif GISBH dan isteri antara 19 ditahan bantu siasatan

Pada masa sama, Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam tragedi terbabit, serta kepada kerajaan dan rakyat Lubnan.

Di samping itu, Wisma Putra mengesahkan bahawa tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut juga sedang memantau perkembangan dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.

“Semua rakyat Malaysia di Lubnan disaran untuk mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi nasihat perjalanan daripada pihak berkuasa tempatan," jelas kenyataan itu.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my.

Untuk mendapatkan bantuan, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi di alamat Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut atau menghubungi talian di +961 71 380 063 dan +961 7677 2527 atau menerusi e-mel ke [email protected].

Media tempatan sebelum ini melaporkan Lubnan mengumumkan penutupan institusi pendidikan termasuk sekolah dan universiti di seluruh negara itu susulan letupan alat kelui atau ‘pager’ yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa termasuk seorang kanak-kanak pada Selasa.

Insiden letupan itu difahamkan tercetus akibat tindakan agensi perisik Mossad Israel yang meletak bahan letupan pada 5,000 alat kelui yang diimport oleh kumpulan Hizbullah Lubnan dari Taiwan beberapa bulan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram