ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan dua buah kenderaan Fitted For Radio (FFR) pasukan Malaysian Batalion Malbatt 850-11 (MALBATT 850-11) terbabit dalam insiden tindakan agresif orang awam di Lubnan, pada Khamis.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan berkata, insiden itu berlaku pukul 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia).
"Ketika kejadian, dua kenderaan 'Fitted For Radio' (FFR) MALBATT 850-11 yang dinaiki tiga pegawai dan tujuh anggota dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah sebaik selesai melaksanakan penugasan di Kem Shama.
BACA LAGI: 'Tiada siapa boleh mengaku, saya bukan hero Lahad Datu'
BACA LAGI: 'Jangan fikir bila saya tidak ada', Allahyarham Tun Hanif 'mastermind' di sebalik kebijaksanaan UTK
"Namun, ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di Bandar Tyre, berlaku kesesakan luar biasa. Ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulans dan bomba di kedua-dua arah.
"Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan MALBATT," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan dua buah kenderaan Fitted For Radio (FFR) pasukan Malaysian Batalion Malbatt 850-11 (MALBATT 850-11) terbabit dalam insiden tindakan agresif orang awam di Lubnan.
Kredit: Agensi pic.twitter.com/LYCxHULul3
— Majoriti (@majoritionline) September 20, 2024
Jelas kenyataan itu lagi, hampir 30 orang awam membaling batu serta memancitkan kesemua tayar kenderaan MALBATT menggunakan senjata tajam.
"Bagi mengelak kejadian yang lebih buruk, ketua pergerakan telah mengarahkan kedua-dua kenderaan berhenti di tepi jalan yang selamat dan kekal berada di dalam kenderaan bagi menanti bantuan.
"Lebanon Armed Forces (LAF) tiba di lokasi dan berjaya mengawal keadaan seterusnya membantu mengkoordinasi 'loader' bagi membawa balik kenderaan dan anggota ke Kem Marakah sebelum tiba pada pukul 7.39 malam waktu tempatan (1.39 pagi waktu Malaysia).
"Tiada sebarang kecederaan dialami oleh pegawai dan anggota terbabit.
"Bagaimanapun kedua-dua kenderaan mengalami beberapa kesan kerosakan," katanya.
MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu yang boleh mencemarkan imej ATM serta Kementerian Pertahanan.
Kejadian serangan kenderaan MALBATT 850-11 itu juga dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan tular di media sosial pada hari yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram