[VIDEO] Tewas 2 kali di tangan Sang Penyu, Kim Swee letak sandaran di bahu import Brazil


  • Podium
  • Rabu, 11 Sep 2024

Sebahagian sesi latihan Sang Badak menjelang saingan Liga Super 2024 berdepan Terengganu FC pada Ahad nanti. — Facebook/Sabahfc

MENJELANG perlawanan Liga Super 2024 yang akan membuka tirainya pada Khamis, pastinya semua pasukan dilihat sudah bersedia untuk memulakan cabaran bagi memperbaiki kedudukan masing-masing.

Begitu juga dengan pasukan yang berpangkalan di Borneo, Sabah FC turut dilihat sudah melakukan persiapan rapi dalam mengharungi cabaran Terengganu FC.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee menaruh harapan agar anak-anak buahnya mampu meraih keputusan positif apatah lagi beraksi di hadapan laman sendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal dalam bola sepak, maruah Kelantan terletak di bahu sepak takraw — Pengurus

BACA LAGI: Sempat berlatih 2 hari, tekong import ada kualiti boleh jadi senjata bahaya Kelantan Warriors

Jika melihat kepada rekod berdepan Sang Penyu sebelum ini, skuad The Rhinos itu tewas dua kali dengan agregat 0-7 dalam suku akhir Piala FA 2024.

Bagaimanapun, Kim Swee kini mempunyai seorang lagi penyerang berkualiti, Joao Pedro Duarte yang akan membantu menambah sengat di bahagian serangan Sang Badak.

Menurutnya, import kelahiran Brazil itu akan membuat penampilan sulung dalam aksi bertemu skuad kendalian Tomislav Steinbruckner pada Ahad.

"Duarte akan membuat penampilan sulungnya aksi bertemu TFC, dia sudah berlatih bersama kelab sejak 15 Ogos dan menunjukkan komitmennya.

“Tetapi kita tidak boleh membandingkannya dengan Ramon Machado. Ramon berpengalaman luas, manakala Pedro masih muda. Kita mesti beri dia masa tetapi berdasarkan apa yang saya lihat setakat ini, dia berganding bahu dengan pemain tempatan.

“Terengganu akan menjadi lawan yang sengit. Kami tewas kepada mereka dalam Piala FA dua kali, jadi kami tahu apa yang mereka mampu.

"Lebih-lebih lagi akan bermain di laman sendiri, saya mengharapkan persembahan yang lebih baik daripada anak-anak buah saya," katanya.

Dominic

Antara aksi Dominic di pentas final Pestabola Merdeka pada Ahad sebelum dikeluarkan akibat kecederaan. — Facebook/FAM

Sementara itu, Kim Swee tampil menegur pihak pengurusan stadium mengenai keadaan padang di gelanggang keramat skuad kebangsaan itu.

Menurutnya, kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur menyebabkan salah seorang pemainnya kini mengalami kecederaan.

Bek tengah Sabah, Dominic Tan terpaksa diusung keluar akibat kecederaan belakang selepas Malaysia menang 1-0 ke atas Lubnan pada perlawanan akhir Kejohanan Pestabola Merdeka pada Ahad.

“Saya tidak tahu sejauh mana kecederaan Dominic, tetapi dia cedera belakang. Saya harap ia tidak terlalu serius.

“Sudah tentu semua jurulatih tidak mahu pemain utama mereka mengalami kecederaan teruk kerana ia mengganggu perancangan pasukan," katanya. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram