Tolak tepi kos terbit majalah, binaTech gigih sumbang ilmu teknologi pembinaan


  • Massa
  • Isnin, 16 Sep 2024

Ilmu tentang teknologi terutamanya dalam industri pembinaan dianggap penting untuk didedahkan secara meluas di Malaysia. — Gambar hiasan/Agensi

SELARI dengan perkembangan pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelbagai platform disediakan bukan sahaja kepada para pelajar tetapi juga buat seluruh masyarakat.

Ia juga meliputi individu dalam pelbagai sektor teknikal seperti teknologi maklumat, kejuruteraan, perkhidmatan, kesihatan, pertanian termasuk pembinaan.

Justeru, binaTech di bawah Innovacia Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan dalam menerbitkan bahan bacaan terutamanya berkaitan dengan industri pembinaan, pembangunan Malaysia dan luar negara.

BACA LAGI: Pertama kali belajar bahasa isyarat, pelajar UPSI tak menyesal terbang jauh tabur bakti di Indonesia

BACA LAGI: 'Sebab itu saya bersyukur jadi rakyat Malaysia', pelancong kongsi pengalaman berguna bercuti di Hong Kong

6278412996527111905

Nazri (kanan) yang terlibat dalam pengurusan penerbitan majalah digital untuk binaTech.

Seorang kakitangan di unit penerbitan, Nazri Hamid memaklumkan bahawa penerbitan bahan bacaan adalah bertujuan untuk mempromosikan sesi latihan yang dibuat oleh syarikat tersebut kepada orang ramai.

Di samping memberi ilmu, binaTech juga berfungsi sebagai platform untuk berkongsi maklumat tentang industri pembinaan.

Menurut Nazri, bahan bacaan itu diterbitkan dalam bentuk majalah digital dengan imbasan kod QR di laman sesawang Innovacia serta perkongsian pendek di Facebooknya.

Bercerita serba sedikit tentang penerbitan binaTech yang juga sesuai bagi memperkasa lagi TVET, ia pada mulanya didedahkan secara fizikal.

Screenshot (3289)

Antara majalah yang pernah dicetak kini diterbitkan semula secara digital. — BinaTech

"Kami sebenarnya pada awalnya memang ada terbitkan majalah fizikal spesifik beri informasi tentang dunia teknologi untuk industri pembinaan.

"Tetapi, majalah itu bukan keluaran harian sebab ia lebih kepada untuk dikongsikan secara percuma jika kami ada sertai karnival besar atau kenalkan kepada rakan kongsi.

"Waktu itu kami memang hasilkan majalah dengan jenis helaian kertas licin, warna-warni dan lengkap beberapa muka surat dan berikan secara percuma sebelum ia berubah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19 melanda pada 2021," katanya kepada Majoriti.

Nazri turut menjelaskan, pihaknya bersifat terbuka dan menggalakkan orang ramai termasuk pelajar-pelajar dalam bidang itu untuk menyumbangkan idea penulisan mereka.

Katanya, ia khas bagi individu yang mempunyai artikel untuk diterbitkan dalam terbitan majalah binaTech.

E-Marketing Rate Card

Mereka juga memberi peluang kepada rakan seindustri untuk berkongsi iklan dengan bayaran berpatutan. — BinaTech

Namun, setiap penulisan atau maklumat dikongsikan kepada mereka perlu ditapis terutamanya daripada segi fakta agar dapat difahami dan dihadam oleh pembaca.

"Kami tolak tepi soal kos sebab niat memang nak berkongsi ilmu. Maksudnya, kalau katakanlah ada orang ada idea atau artikel yang berkaitan dengan bidang pembinaan, tetapi tak tahu mana-mana platform untuk dikongsikan.

"Atau mereka rasa kos terbitan terlalu mahal, tak yakin dengan info tersebut. Jadi, mereka sentiasa boleh hantar bahan itu kepada kami secara percuma.

"Cuma sekarang, kami lebih ke arah majalah digital atau e-newsletter yang dimuat naik melalui e-mel, Facebook dan laman web," jelasnya.

Bukan itu sahaja, Nazri memberitahu bahawa terdapat juga sumber dari luar negara digunakan dalam terbitan majalahnya sebagai ilmu tambahan yang mungkin tidak dapat diperolehi di Malaysia seperti sistem teknologi binaan di negara Asia atau Eropah.

"Kami perasan tak banyak buku atau majalah yang ada maklumat-maklumat tentang sektor ini secara meluas di Malaysia, jadi mungkin dengan adanya beberapa terbitan ini sedikit sebanyak dapat membantu memperkasakan lagi bidang TVET," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram