[VIDEO] Israel dalang 3,000 alat kelui meletup serentak, Lubnan arah tutup sekolah dan universiti


  • Benua
  • Rabu, 18 Sep 2024

Tangkap layar insiden letupan berlaku di Lubnan yang mengorbankan sebanyak sembilan nyawa setakat Selasa.

LUBNAN mengumumkan penutupan institusi pendidikan termasuk sekolah dan universiti di seluruh negara itu susulan letupan alat kelui atau ‘pager’ yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa termasuk seorang kanak-kanak pada Selasa.

Insiden letupan itu difahamkan tercetus akibat tindakan agensi perisik Mossad Israel yang meletak bahan letupan pada 5,000 alat kelui yang diimport oleh kumpulan Hizbullah Lubnan dari Taiwan beberapa bulan lalu.

Perkara itu sekali gus mengakibatkan ribuan peranti komunikasi meletup di serata Lubnan yang turut mencederakan 3,000 orang awam setakat ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Pejuang Hizbullah balas dendam, lancar puluhan serangan roket ke utara Israel

BACA LAGI: Tentera Israel akui sukar hapus Hamas, berbalah pendapat dengan Netanyahu

Alat tersebut meletup apabila pemilik peranti itu yang kebanyakannya anggota Hizbullah, menerima satu pesanan daripada pemimpin mereka.

Sumber keselamatan Lubnan berkata, alat kelui itu merupakan buatan syarikat Gold Apollo yang berpangkalan di Taiwan, namun pihak berkenaan menerusi satu kenyataan menafikan pernah mengeluarkan produk terbabit.

Jelasnya, ia direka oleh sebuah syarikat bernama BAC yang mempunyai lesen untuk menggunakan jenama Gold Apollo.

"Produk itu bukan milik kami. Cuma ia mempunyai jenama kami," kata pengasasnya, Hsu Ching-Kuang.

Serangan terancang itu dipercayai merupakan tindak balas tentera Israel susulan serangan peluru berpandu Hizbullah ke atas wilayah haram rejim beberapa hari sebelumnya.

Dalam pada itu, Hizbullah yang disokong Iran telah berikrar untuk bertindak balas terhadap Israel susulan letupan itu.

Hizbullah berkata, penentangan akan berterusan dilaksanakan seperti hari-hari lain dengan tentera Zionis akan berdepan hukuman keras atas kekejaman dilakukan. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram