[VIDEO] Hari kedua berturut-turut alat komunikasi meletup di Lubnan, kali ini di majlis pengebumian


  • Benua
  • Khamis, 19 Sep 2024

Peranti walkie-talkie dan alat komunikasi tanpa wayar yang digunakan oleh Hezbollah telah meletup di seluruh Lebanon pada Rabu.

PERANTI walkie-talkie dan alat komunikasi tanpa wayar yang digunakan oleh Hezbollah telah meletup di seluruh Lubnan sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 20 kematian dan lebih daripada 450 individu mengalami kecederaan pada Rabu.

Ini berlaku sehari selepas ribuan alat kelui (pager) meletup di negara itu.

Letupan baharu itu menegangkan lagi situasi di Lubnan selepas serangan elektronik yang pertama kali berlaku pada Selasa.

Kumpulan militan tersebut dan Israel sudah pun terlibat dalam perang berlarutan di sempadan Israel-Lubnan, yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya konflik yang lebih besar.

BACA LAGI: Tolak tepi kos terbit majalah, binaTech gigih sumbang ilmu teknologi pembinaan

BACA LAGI: 'Tak pernah MC sepanjang 27 tahun di Malaysia', Abu Bakar jadi pekerja contoh, kini sudah pulang ke Bangladesh

Kematian dan kecederaan yang dicatatkan dalam dua hari letupan itu telah meningkat kepada 32 orang, termasuk sekurang-kurangnya dua kanak-kanak dan lebih daripada 3,000 orang cedera.

Hampir 300 orang yang cedera dalam letupan pada Selasa masih berada dalam keadaan kritikal.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, yang bercakap di sebuah pangkalan udara di Israel pada hari Rabu memberi isyarat bahawa negara itu sedang memasuki fasa baru peperangan di sempadan utara dengan Lubnan.

Beliau berkata, tentera rejim Israel akan mengalihkan tumpuan ke utara, dan tentera elit termasuk pasukan komando diarahkan bergerak ke kawasan tersebut.

Walaupun rejim Zionis tidak memberi komen langsung mengenai letupan itu, Hezbollah menyalahkan Israel di atas serangan yang berlaku pada hari Selasa.

Pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, dijangka memberi ucapan mengenai pelanggaran keselamatan ini pada hari Khamis.

Banyak pihak di Lubnan sedang menantikan reaksi Hezbollah terhadap serangan terkoordinasi ini.

Namun, pakar menyatakan bahawa disebabkan rangkaian komunikasi Hezbollah banyak terganggu, sukar bagi mereka untuk melancarkan tindak balas segera.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menyatakan bahawa serangan terhadap ribuan orang menggunakan peranti elektronik itu telah menimbulkan trauma dan menyeru pemimpin dunia supaya mempertahankan hak setiap orang untuk hidup dalam keamanan dan keselamatan.

Turk juga menegaskan bahawa sasaran terhadap individu tanpa pengetahuan siapa yang memegang peranti atau lokasi mereka adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Untuk rekod, Hezbollah dan Israel telah saling berbalas serangan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober terhadap Israel.

Pada hari Rabu, Hezbollah melancarkan roket ke arah kedudukan artileri Israel di sempadan, serangan pertama selepas letupan pada Selasa yang meningkatkan risiko konflik serantau.

Letupan pada hari Rabu berlaku di beberapa kawasan seperti selatan Beirut, Tyre, Nabatiyeh, Hermel dan Lembah Bekaa, termasuk beberapa kampung di selatan yang memiliki kehadiran kuat Hezbollah.

Pada malam, tentera Lubnan juga melaksanakan letupan terkawal peranti walkie-talkie di Beirut.

Imej ngeri terus tersebar di media sosial buat hari kedua berturut-turut menunjukkan kereta dan motosikal yang rosak terbakar, kediaman dan kedai terbakar, serta orang awam yang cedera dihantar ke hospital dengan ambulans.

Salah satu letupan pada hari Rabu berlaku berhampiran pengebumian di kawasan selatan Beirut untuk beberapa mangsa yang terbunuh pada Selasa.

Ribuan orang hadir untuk pengebumian seorang kanak-kanak, dua anggota Hezbollah dan seorang pekerja kesihatan. Upacara tersebut menjadi tegang apabila satu letupan kuat kedengaran, menyebabkan hadirin lari bertempiaran dalam ketakutan.

Seorang lelaki di kawasan itu menjerit, 'ia meletup di tangannya' sementara seorang askar Lubnan mengesahkan bahawa dua peranti meletup di kawasan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram