Berang larangan tak diendah, wanita galak menyanyi waktu Subuh maut ditikam rakan


  • Benua
  • Isnin, 30 Mei 2022

Motif kejadian pembunuhan itu hanyalah berpunca daripada salah faham. — Gambar hiasan

POLIS menahan seorang lelaki yang bertindak membunuh rakannya di Kecamatan Kadia dekat Kota Kendari, Sulawesi Tenggara, Indonesia, pada Ahad.

Pegawai Polis Pusat Peranginan Kota Kendari, Asisten Komisioner Fitrayadi berkata, pada mulanya, suspek dikenali sebagai LS, 33, sedang duduk berbual bersama dua rakannya di rumah suspek di Lorong RCTI, Jalan Kelurahan Kadia, Kecamatan Kadia pada pukul 11 malam hingga 4 pagi.

Ketika itu, mangsa, Herlina Konstan Larangka,39, menghubungi salah seorang rakannya untuk turut serta bersama mereka, namun permintaannya ditolak.

Pada masa sama, suspek merampas telefon bimbit daripada rakannya serta mengajak Herlina untuk menyertai mereka.

Ketika Herlina menyertai kumpulan itu, dia secara tiba-tiba memasang dan menyanyi lagu dari aplikasi YouTube melalui telefon bimbitnya.

Suspek kemudian melarang Herlina menyanyi kerana ketika itu telah masuk waktu Subuh, masa yang tidak sesuai untuk berbuat demikian.

Namun, larangan suspek hanya sia-sia kerana tidak diendahkan oleh mangsa.

Suspek mengugut akan menikam mangsa sekiranya dia tidak berhenti menyanyi. Mangsa yang tidak gentar mendengar ugutan itu mencabar suspek untuk menikamnya.

"Suspek kemudian berlari ke dapur dan kembali dengan membawa pisau sebelum segera menikam mangsa di pinggang kiri. Selepas itu, suspek melarikan diri menggunakan basikal," kata Fitrayadi.

Mangsa yang cedera dibantu oleh orang awam dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Namun, sebelum tiba di hospital, mangsa telah meninggal dunia.

"Motif kejadian hanyalah salah faham," tambah Fitrayadi.

Pihak polis yang mendapat aduan daripada orang ramai tiba di lokasi dan memburu suspek.

Suspek kemudian berjaya diberkas di sebuah rumah di BTN Puuwatu Indah Permai, di Jalan Pulau Lombok, Kelurahan Puuwatu, Kecamatan Puuwatu, Kendari sekitar pukul 9.15 pagi Ahad.

Suspek didakwa atas tuduhan melakukan penganiayaan yang mengakibatkan kematian, serta boleh dihukum penjara selama tujuh tahun jika sabit kesalahan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

tikam rakan, larang menyanyi, Indonesia