JALAN kaki lima atau ruang legar merupakan laluan pejalan kaki berbumbung yang biasa ditemukan di hadapan kedai atau premis di negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia yang juga digunakan untuk aktiviti komersial. Nama itu merujuk kepada lebar laluan, tetapi jalan kaki lima mungkin lebih sempit atau lebih lebar daripada ukuran lima kaki (1.5 meter).
Di Malaysia, terdapat banyak jalan kaki lima berdepan restoran atau kedai makan yang sering digunakan untuk meletak meja makan dan kerusi sama ada sebagai memenuhi keperluan pelanggan atau pemilik mahu menambah kemudahan itu kepada pelanggannya.
Namun timbul persoalan sama ada tindakan pemilik premis meletakkan kerusi dan meja makan di kaki lima menjadi kesalahan atau tidak?
Seperti di Sabah, Kerajaan Negeri membenarkan pemilik restoran meletakkan meja di ruang legar atau kaki lima untuk pelanggan makan di premis asalkan sudah menyewa tapak itu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Keputusan yang dibuat kerajaan Sabah menunjukkan pemilik premis boleh menyewa ruang legar daripada PBT tetapi tidak dapat dipastikan sama ada PBT di negeri-negeri lain memperuntukkan kemudahan yang sama.
Halang laluan
Orang awam membangkitkan isu penggunaan kaki lima oleh pemilik restoran yang dilihat menghalang laluan terutamanya pada waktu berkerja selain ada penyewa di premis yang sama berasa kurang senang dengan tindakan pemilik restoran menggunakan ruang tersebut.
Tinjauan Majoriti di sekitar Lembah Klang mendapati premis-premis yang meletakkan meja dan kerusi di jalan kaki lima ini seperti mengganggu pengguna yang ingin menggunakan laluan tersebut kerana dipenuhi dengan meja dan kerusi.
Malah ada restoran yang menjadikan kaki lima ini sebagai tempat memasak dan penyediaan makanan sekali gus menjadikan kawasan itu terhalang dan kotor akibat buangan sisa bahan mentah.
Ada restoran menjadikan laluan kaki lima sebagai tempat letak meja dan kerusi untuk pelanggan premis berkenaan.
Menurut pelajar sebuah universiti swasta, Siti Aisyah Mohd Ihsan, 21, dia yang kini menyewa di sebuah bilik yang terletak di atas sebuah restoran menyatakan kurang selesa jika ingin memasuki rumah apabila restoran sudah meletakkan kerusi dan meja di laluan kaki lima.
"Saya menyewa bilik di atas restoran ini. Sebagai seorang perempuan yang menggunakan laluan kaki lima untuk naik ke rumah, sejujurnya saya agak kurang selesa apabila orang lain (pelanggan) memerhati gerak geri saya.
"Kadang-kadang bila saya balik dari tempat 'intern' (latihan industri) pada waktu malam, akan ada halangan seperti meja dan kerusi yang menyukarkan saya untuk masuk ke rumah," katanya kepada Majoriti.
Meja dan kerusi di laluan kaki lima membuatkan penyewa di atas restoran makanan berkenaan tidak selasa kerana menghalang laluan mereka untuk masuk ke rumah.
Permintaan pelanggan
Awang Azizi Mat Suki, 55, pula berpendapat, pelanggan yang hadir ke kedai makan seperti restoran mamak lebih gemar menikmati hidangan mereka di luar kawasan kedai menjadi punca pemilik premis membuka meja di laluan kaki lima.
"Bagi pendapat saya orang ramai yang datang ke kedai mamak ini lebih suka duduk di kaki lima restoran, ini kerana orang kita lebih suka tempat yang terbuka untuk menikmati hidangan mereka.
"Macam diri saya juga, saya lebih suka duduk di meja luar berbanding di dalam restoran, kadang-kadang kalau tak ada meja dekat luar saya akan minta pekerja kedai untuk membuka meja di luar," katanya.
Dalam pada itu, seorang pesara, Zakaria Afendy, 65, berkata, dia lebih suka restoran seperti mamak membuka meja di kaki lima kerana senang untuk dia menghabiskan masa berbual bersama rakan-rakannya sambil menghisap rokok.
"Saya suka duduk dekat luar kawasan kedai, sebab dekat luar kawasan terbuka selepas itu kita nak buat apa-apa pun boleh. Kalau dekat dalam tertutup dan panas jadi saya lebih pilih untuk duduk luar.
"Kalau dekat luar, kami yang merupakan perokok ini pun boleh menghisap rokok semasa tengah lepak, sebab kalau di dalam kedai larangan merokok itu ada, jadi mungkin ramai orang kita yang minta untuk pekerja kedai buka meja di laluan kaki lima," jelasnya.
Dilema pemilik restoran
Namun ada pemilik restoran yang dikenakan amaran oleh PBT kerana meletak kerusi dan meja di ruang legar.
Seorang pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Halim berkata, dia dikenakan amaran oleh PBT kerana meletakkan dua buah meja di kaki lima sedangkan beberapa restoran lain berdekatannya meletakkan jumlah kerusi dan meja yang lebih banyak.
"Saya keliru sama ada dibenarkan atau tidak meletak kerusi dan meja di kaki lima. Saya hanya letak selepas waktu pejabat dengan harapan tidak menghalang laluan. Tetapi saya masih dikenakan amaran.
"Jadi adakah saya perlu memohon kebenaran atau menyewa sebab ada restoran lain boleh berbuat perkara sama," soalnya.
Sehubungan itu, Majoriti sudah menghubungi beberapa PBT untuk mendapatkan maklum balas berkaitan isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram