HASRAT seorang remaja untuk mencuri sebuah motosikal terbantut apabila perbuatannya itu dihidu oleh pemilik motosikal tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku di Masjid Lorong I, Desa Cibubur, Kecamatan Ciracas, Jakarta Timur, Indonesia, pada Sabtu lalu, suspek dikenali sebagai NF, 19, ditahan selepas merempuh tembok ketika dikejar orang ramai.
Suspek cuba melarikan sebuah motosikal Honda Astrea milik penduduk dengan nombor plat B 4254 ZI pada sekitar pukul 7 petang Sabtu.
Menurut Ayani, ibu kepada pemilik motosikal yang dicuri itu, NF ditahan ketika hendak mencuri kenderaan anaknya.
Katanya, motosikal itu diletakkan di halaman rumah.
"Ketika anak saya hendak keluar membeli jus oren, dia melihat motornya ditarik keluar dari pagar. Sebelum matahari terbenam, saya sudah menutup pintu pagar," kata Ayani di Ciracas, Jakarta Timur pada Isnin.
Melihat motosikalnya dilarikan, anak Ayani tanpa berfikir panjang terus mengejar suspek.
Dia sempat menyepak pelaku dari belakang sambil menjerit meminta pertolongan penduduk setempat.
NF yang bertindak bersendirian cuba melarikan diri dengan motosikal Honda Astrea curi itu.
Namun, suspek berjaya ditahan penduduk setempat selepas kenderaan itu merempuh dinding.
Walaupun dipukul oleh penduduk di sekitar kawasan itu, NF tidak mengalami kecederaan parah.
Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis Ciracas untuk siasatan lanjut.
Pihak polis berkata, NF kini direman dan akan didakwa atas kesalahan mencuri, sekali gus berdepan hukuman maksimum lima tahun penjara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram