KES seorang remaja lelaki berusia 16 tahun menjadi mangsa buli rakan-rakannya sehingga mengalami kecederaan akibat dicucuh dengan rokok di bahagian lidah dan dicucuk dengan pemutar skru yang dipanaskan di bahagian pinggul menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Kejadian tersebut berlaku di Serpong, Kota Tangerang, Indonesia dan hanya diketahui oleh ibu mangsa selepas dia melihat anaknya dalam satu video tular.
Ibu mangsa yang dikenali dengan nama Nuryanah berkata, dia mendapat video itu menerusi perkongsian di aplikasi Whatsapp dan sangat terkejut bila melihat anaknya sendiri menjadi mangsa buli.
"Kejadian itu berlaku pada Isnin malam dan saya hanya mengetahui anak dibuli selepas melihat video yang tular pada keesokan harinya," katanya.
Bercerita mengenai kejadian itu, menurut Nuryanah, anaknya sebelum itu telah keluar pada pukul 9 malam bersama dengan rakan-rakannya untuk bermain permainan video.
Jelasnya, anaknya itu kemudian pulang ke rumah kira-kira pukul 3 pagi pulang dan mengadu yang dirinya sakit di bahagian bibir kiri.
Namun, remaja itu enggan mendedahkan dirinya menjadi mangsa buli dan mendiamkan diri ketika ditanya oleh ibunya.
"Saya hanya tahu dia dibuli selepas video itu tersebar dan ketika itu memang saya sangat sedih hingga menggeletar seluruh badan," katanya.
Tambah Nuryanah, dia juga memaklumkan satu laporan polis telah dibuat berkenaan dengan kejadian yang menimpa anaknya.
Susulan laporan itu, lapan suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram