SEBANYAK empat pek bungkusan mi segera terkenal keluaran Indonesia yang berjenama Indomie dipercayai ditemui dalam satu lokasi perang Rusia-Ukraine di Ukraine baru-baru ini.
Menurut agensi berita Rusia, RIA Novosti, penemuan mengejutkan bungkusan mi segera berkenaan ditemui oleh seorang wartawannya yang bertugas di lokasi kejadian.
Difahamkan, rakaman semasa dilaporkan wartawan itu berbuat di perkampungan Troitske yang terletak tidak jauh dari Bandar Popasna di wilayah Luhansk.
Dalam kejadian itu, wartawan tersebut melaporkan sesuatu maklumat sambil menunjukkan ke arah kawasan di mana terkumpulnya beberapa bungkusan makanan di atas tanah, termasuklah pek mi segera itu.
Jelas tertera di bungkusan mi segera berkenaan perkataan ‘Indomie Instant Noodles, Mi Goreng Pedas’ dan apa yang menariknya, keempat-empat pek itu masih belum dibuka.
Menurut RIA Novosti lagi, keempat-empat bungkusan Indomie itu dipercayai masih lagi baru dan boleh dimakan kerana tarikh luput yang tertera pada bungkusan adalah pada 5 Ogos 2022.
Tentera Ukraine terpaksa berundur dari medan pertempuran di wilayah Luhansk selepas tentera Rusia terus mara bergerak ke wilayah timur. — Agensi
Selain Indomie, wartawan tersebut juga turut menemui beberapa produk makanan asing dan bukan berasal Ukraine seperti American Chips, British Muesli, waffle dan minuman teh.
Dalam pada itu, terdapat juga bungkusan kotak rokok bebas cukai yang turut ditemui tidak jauh dari lokasi bungkusan Indomie ditemui tersebut.
Terdahulu, tentera Ukraine terpaksa berundur dari medan pertempuran di wilayah Luhansk yang mana langkah itu dilakukan selepas tentera Rusia terus mara bergerak ke wilayah timur setelah perang itu berlangsung selama tiga bulan.
Pengunduran tentera Ukraine itu telah membuatkan Rusia cuba menakluk secara mutlak dua wilayah di Ukraine iaitu Luhansk dan Donetsk. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram