'Jangan percaya', Deeromram nafi sikap pengurusan punca tinggalkan Selangor secara mengejut


  • Podium
  • Selasa, 16 Dis 2025

Deeromram mengambil keputusan meninggalkan skuad Gergasi Merah lebih awal yang mengejutkan ramai pihak. — Facebook/Selangor FC

KEPUTUSAN mengejut dibuat Selangor FC apabila memutuskan untuk menamatkan kontrak bek kiri, Kevin Deeromram secara persetujuan bersama pada Isnin.

Pemergian pemain kebangsaan Thailand berkenaan cukup mengejutkan kerana musim ini, dia merupakan antara watak penting di posisi pertahanan, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Ini sekali gus mencetuskan khabar angin bahawa terdapat isu dengan pihak pengurusan sehingga mendesak Deeromram menamatkan kontrak lebih awal.

BACA LAGI: Bangkit selepas tewas kepada JDT, kami belajar dari kesilapan — Deeromram

BACA LAGI: Tak tergesa-gesa pulang, bek Selangor sempat ubati kerinduan di Thailand

Penyokong mendakwa terdapat keretakan hubungan antara Selangor FC dan Deeromram.

Perkara itu diakui penyokong Selangor FC, Danial Mazalan menerusi akaun X yang berkongsi kononnya keputusan tersebut dibuat susulan rasa kurang senang terhadap pihak atasan kelab.

Hantaran berkenaan dibuat berserta tangkap layar perbincangan di WhatsApp menyatakan pemain berusia 28 tahun itu sudah mahu meninggalkan skuad Gergasi Merah lebih awal.

"Dia tidak senang dengan pengurusan yang begitu teruk. Dia sudah mahu menamatkan kontrak sejak tarikh akhir jendela perpindahan dan mahu pulang ke Thailand," tulis individu dalam perbualan berkenaan.

Sekiranya dakwaan dibuat itu benar, penyokong Selangor FC sudah tentu kecewa akan pihak atasan yang sekali lagi gagal dalam membuat keputusan terbaik buat kelab.

Bagaimanapun, perkongsian berkenaan sudah tiba di pengetahuan Deeromram yang tampil menepis perkara itu menerusi satu hantaran Instastory peribadinya.

Deeromram menepis dakwaan bahawa dia kurang senang dengan pengurusan Selangor FC.

"Berita palsu, saya tidak pernah berkata buruk mengenai pengurusan. Saya menghormati pihak atasan dan kelab ini, jangan percaya segala yang anda baca atas talian," tulisnya.

Kenyataan dikeluarkan Deeromram itu pasti mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat skuad Gergasi Merah yang kini dilihat berpecah belah berhubung kepercayaan penuh terhadap pihak pengurusan.

Tetapi, sekiranya dakwaan dibuat itu tepat, Selangor FC perlu segera memastikan tiada lagi isu sedemikian timbul jika tidak mahu keretakan dalam kalangan peminat.

Deeromram menyertai skuad Gergasi Merah pada penghujung jendela perpindahan lalu dengan pengalamannya di Eropah dan Thailand diharapkan mampu membawa perubahan besar.

Namun, daripada 18 penampilan direkodkan, pemain kacukan Thailand-Sweden itu mengalami prestasi tidak menentu meskipun berjaya mencetak empat gol secara keseluruhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram