Bangkit selepas tewas kepada JDT, kami belajar dari kesilapan — Deeromram


  • Podium
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Selangor mudah menundukkan cabaran Brunei DPMM FC dengan kemenangan 3-0 hasil jaringan tiga gol ke gawang lawan. — Facebook/Selangorfc

BEK kiri Selangor FC, Kevin Deeromram mencipta momen yang cukup istimewa apabila meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Brunei DPMM FC dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Selasa.

Lebih mengagumkan, pemain berusia 27 tahun itu bukanlah seorang penyerang, sebaliknya pemain pertahanan sayap.

Deeromram membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-36, hasil dua hantaran lintang tepat daripada Quentin Cheng.

BACA LAGI: ACLE: Pertembungan panas JDT-Buriram United berpotensi berlaku seawal peringkat kumpulan

BACA LAGI: 'Tiada siapa tahu keajaiban yang mampu dibawa pengendali baharu Sabah FC'

Menariknya, situasi itu seolah-olah ‘pertukaran peranan’ buat Deeromram yang biasanya lebih dikenali sebagai pemberi umpanan.

Ketika bersama Port FC di Thailand musim lalu, pemain berdarah Thailand-Switzerland itu mendominasi carta bantuan jaringan dengan 11 assist.

Kemenangan bergaya Selangor itu dilengkapkan dengan gol ketiga oleh pemain import dari Brazil, Chrigor Moraes pada minit ke-67.

Bagi Deeromram, ia adalah permulaan sempurna di laman sendiri bersama skuad Gergasi Merah.

“Misi utama kami adalah mendapatkan tiga mata pertama dan kami berjaya lakukannya.

“Saya sangat gembira dapat menjaringkan dua gol pertama saya untuk kelab ini dan merasai suasana di Petaling Jaya. Ia sungguh menakjubkan dan saya berharap ia berterusan.

“Saya harap penyokong menikmati cara saya bermain. Ya, jaringan memang satu cara yang baik untuk memperkenalkan diri, tetapi saya lebih suka mencipta peluang, itu gaya permainan saya dan sebab saya dibawa ke sini,” kata pemain kebangsaan Thailand itu.

Bek kiri Selangor FC, Kevin Deeromram. — Facebook/Selangorfc

Kemenangan itu juga menjadi penawar terbaik selepas kekalahan mengecewakan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 8 Ogos lalu.

“Kami sedar kami tidak beraksi dengan baik menentang JDT. Selepas perlawanan itu, kami berbincang tentang apa yang boleh diperbaiki,” jelas Deeromram.

Menurut pemain lincah itu, proses penyesuaian di Malaysia berjalan lancar hasil sokongan daripada rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan.

“Saya semakin serasi di sini kerana semua orang sangat membantu dan jurulatih juga jelas dengan apa yang diinginkannya.

“Liga Malaysia juga sangat kompetitif, tidak jauh beza dengan apa yang saya lalui di Thailand," ujarnya.

Di sebalik kejayaan di peringkat kelab, Deeromram turut menyimpan harapan untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan Thailand menjelang aksi antarabangsa bulan depan.

Thailand dijadualkan beraksi dalam saingan King’s Cup di Kanchanaburi, menentang Fiji pada 4 September, sebelum bertemu Iraq atau Hong Kong pada 7 September.

“Saya amat berharap untuk kembali mewakili Thailand dan saya mahu diberi peluang itu. Moga-moga jurulatih akan memanggil saya ke kem nanti," tambahnya. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram