[VIDEO] 'Ingatkan bonus', TMJ pernah 'warning' Hariss Harun jika gagal tewaskan Kelantan


  • Podium
  • Rabu, 10 Dis 2025

Hariss Harun berkongsi pengalaman peribadinya sepanjang menyarung jersi skuad Harimau Selatan. — Facebook/JDT

LEGENDA Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun berkongsi pengalaman peribadinya sepanjang menyarung jersi skuad Harimau Selatan menerusi satu temubual di platform TikTok, Sportswire Podcast.

Dalam perkongsian itu, Hariss menyatakan bahawa detik-detik bersama JDT sentiasa menjadi kenangan manis dalam kariernya, namun tidak kurang juga pengalaman penuh tekanan di bawah pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Menurut bekas kapten JDT itu, dia dan rakan sepasukan pernah menerima surat amaran daripada TMJ selepas seri 2-2 ke atas Kelantan, satu perlawanan yang dianggap penting kerana mereka bermain di tempat lawan.

BACA LAGI: Anak muda Selangor FC wajib turun lawan gergasi Singapura demi pengalaman bermakna

BACA LAGI: Sebelum Selangor, Kedah jadi kelab lokal terakhir terima kunjungan Lion City Sailors

TMJ dikatakan memberi amaran bahawa jika mereka tewas, setiap pemain berdepan risiko dipotong separuh gaji.

"If they lose today's game, everyone half salary cut," katanya seperti diceritakan oleh Hariss.

Bimbang dengan amaran tersebut, skuad Harimau Selatan berjaya membawa pulang satu mata ke bumi Johor.

Namun, situasi itu tidak mengubah hakikat bahawa TMJ tetap menuntut disiplin dan prestasi terbaik daripada setiap pemain.

Hariss yang juga merupakan naib presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), turut menjelaskan bahawa TMJ mahu melihat usaha maksimum daripada para pemain, bukan sekadar keputusan di atas kertas.

Menurutnya lagi, TMJ tidak boleh menerima jika pemain dilihat kurang berusaha atau hanya berjalan di atas padang.

Mengenang aksi menentang Kelantan, Hariss berkata, pasukan bermain hambar dan ketinggalan 0-1 sebelum bangkit menyamakan kedudukan 1-1 sebelum rehat.

Namun, mereka berjaya mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 2-2 dan sekurang-kurangnya terhindar daripada kekalahan.

Bagaimanapun, keputusan seri itu tidak dapat menyelamatkan mereka daripada menerima surat amaran yang sudah diletakkan di bilik persalinan.

Tambahnya lagi, setibanya di bilik persalinan, para pemain mendapati sepucuk sampul surat menanti di tempat masing-masing dan semuanya mengandungi surat amaran daripada TMJ.

“Saya ingat lagi, bila masuk bilik persalinan, saya nampak sampul di tempat saya. Saya fikir mungkin ini bonus. Tapi bila tengok semua pemain ada sampul, saya sedar itu surat amaran,” katanya.

Menurut Hariss, bukan sahaja pemain tempatan, bahkan pemain import turut menerima surat amaran tersebut.

"Kalau kamu tidak bangkit, tidak mahu berikan persembahan terbaik, gaji kamu akan dipotong atau kontrak ditamatkan. It’s high risk, high reward," jelasnya.

Berdasarkan semakan Majoriti, perlawanan yang dimaksudkan Harris itu berkemungkinan berlangsung pada 2016 yang menyaksikan JDT mensia-siakan peluang meraih tiga mata penuh apabila Kelantan berjaya bangkit kedudukan 2-2.

Kisah itu menggambarkan betapa tingginya standard ditetapkan TMJ serta budaya kompetitif yang membentuk era kegemilangan JDT di pentas bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram