Hilang 6 pemain termasuk Bergson, Munoz masih yakin trofi Piala FA milik JDT


  • Podium
  • Ahad, 14 Dis 2025

Bergson difahamkan mengalami isu kecederaan menjelang aksi final Piala FA bertemu Sabah FC. — Facebook/JDT

WALAUPUN berstatus juara bertahan tiga kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berdepan krisis kecederaan menjelang pertembungan final Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, mesin gol JDT iaitu Bergson Da Silva dilaporkan mengalami kecederaan, sekali gus menyertai senarai pemain yang terpaksa diketepikan atas sebab sama, termasuk Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales. 

Sebelum itu, skuad Harimau Selatan turut kehilangan khidmat Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal yang kini digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). 

BACA LAGI: [VIDEO] 'I love botak', Sumareh ceriakan kem JDT menjelang final Piala FA

BACA LAGI: Sudah ‘follow’ Bergson dan JDT, dengarnya rakan ‘sepejabat’ Dion Cools tunggu masa ke SSI

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz bagaimanapun kekal yakin dengan pemain yang ada untuk menggalas tanggungjawab dan mengisi kekosongan ditinggalkan rakan sepasukan mereka, ketika Harimau Selatan bertekad mempertahankan kejuaraan Piala FA buat kali keempat berturut-turut.

"Kami sangat gembira berada di sini kerana perlawanan ini amat penting untuk kelab. Esok (hari ini) kami berdepan satu perlawanan penting dan kami tahu kami berada dalam keadaan yang baik ketika ini. Memang benar kami berdepan beberapa kesukaran akibat kecederaan pemain utama. 

"Ia sukar kerana kebiasaannya pemain-pemain ini akan tersedia untuk aksi final. Sudah tentu kehadiran mereka akan menjadikan pasukan lebih kuat.

"Namun perkara paling penting adalah memberi tumpuan kepada pemain yang kami ada dan memberi mereka peluang untuk beraksi.

"Kami berada dalam suasana positif dan mahu menampilkan gaya permainan kami, gaya JDT, serta memberikan yang terbaik di atas padang,” katanya pada sidang media praperlawanan di Bukit Jalil pada Sabtu. 

Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz.  — Facebook/JDT

JDT turut bersedia sekiranya perlawanan berlanjutan melebihi 90 minit atau terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Munoz mendedahkan dia bersama barisan kejurulatihan telah membuat persiapan rapi dengan mengkaji taktik sepakan penalti Sabah, khususnya berdasarkan aksi separuh akhir Piala FA menentang Selangor, yang menyaksikan Sabah menang 5-4 menerusi penentuan penalti selepas agregat terikat 5-5.

"Setiap perlawanan adalah berbeza dan setiap situasi juga tidak sama. Tekanan juga tidak pernah sama, dan separuh akhir tidak sama dengan final. Kami mempunyai sedikit kelebihan kerana kami tahu bagaimana kebiasaannya mereka mengambil sepakan penalti.

"Mereka mungkin menukar susunan atau cuba mencetuskan kekeliruan, namun kami mempunyai maklumat mengenai pemain yang mengambil sepakan dan arah yang sering mereka sasarkan. Ini memberi kami sedikit gambaran lebih jelas mengenai pendekatan mereka," tambah Munoz. — The Star/ADAM ZAMRI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram