PENDEKATAN 'park the bus' jarang dianggap sebagai strategi yang wajar ditonjolkan dan sering dilihat sebagai taktik negatif.
Namun, ia mungkin menjadi pilihan paling tepat buat Sabah FC apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Ahad.
Bekas pemain Sabah FC, Jelius Ating percaya pendekatan permainan terbuka hanya akan memakan diri pasukan dari Borneo itu, memandangkan JDT memiliki skuad yang sangat kuat dengan kebanyakan pemain mampu mencipta ruang dan menjaringkan gol.
BACA LAGI: Jangan fikir Sabah pasukan sama di final Piala FA — TMJ
BACA LAGI: JDT pilih jalan sukar mara ke saingan kalah mati ACL Elite

Perlawanan akhir Piala FA 2025 bakal menyaksikan pertembungan menarik antara Sabah dan JDT. — Facebook/sabahfc
Sabah, katanya, hanya perlu mengimbau kembali kunjungan mereka ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor dalam saingan Liga Super pada September lalu apabila pasukan kendalian Jean Paul de Marigny dibelasah 0-8.
Susulan kekalahan besar itu, Jelius berkata, dia tidak keberatan sekiranya Sabah meletakkan kesemua 11 pemain di hadapan gawang sendiri demi mengelakkan kebolosan dan cuba memanfaatkan serangan balas ke atas JDT.
Menurutnya, pada akhirnya, perlawanan ditentukan oleh jaringan gol bukannya keindahan corak permainan.
“Bagi saya, hanya ada satu cara untuk menyekat serangan JDT, iaitu dengan ‘park the bus’.
“Jika Sabah mampu menjaringkan gol awal dan bekerja keras untuk mempertahankan kelebihan itu, mereka perlu menerima pakai strategi yang mungkin tidak menarik untuk ditonton, tetapi cukup untuk menghadiahkan kemenangan.
“Dalam perlawanan akhir seperti ini, ia bukan ditentukan oleh sejauh mana cantik permainan anda. Pasukan yang mempunyai kelebihan gol akan muncul juara.
“Apa pun, saya berharap dapat menyaksikan perlawanan yang baik daripada kedua-dua pasukan,” kata Jelius.
Taktik sedemikian pernah digunakan oleh Kuala Lumpur City FC apabila mengejutkan JDT 2-0 untuk menjuarai Piala Malaysia 2021.
Dalam masa sama, Jelius, yang merupakan sebahagian daripada skuad Sabah yang muncul naib juara Piala FA pada 1998 berharap kemarau kejuaraan yang berlarutan sekian lama dapat ditamatkan esok.
Beliau mengingatkan bahawa sudah lama Sabah tidak menjulang Piala FA, dengan satu-satunya kejayaan diraih pada edisi 1995 apabila menewaskan Pahang 3-1 di Stadium Merdeka.
Bagi Jelius, meskipun Sabah bergelut dalam saingan liga manakala JDT terus mendominasi, semua itu tidak bermakna sehingga wisel penamat ditiup.
“Anda boleh lihat ketika separuh akhir menentang Selangor, yang dianggap pilihan ketika itu.
“Mereka beraksi di tahap lebih tinggi dalam Liga Juara-Juara AFC Two (AFC 2), manakala kami bergelut dalam liga, namun Sabah tetap berjaya menang walaupun melalui penentuan sepakan penalti.
“Anda perlu faham, pasukan yang bergelut dalam liga tidak semestinya gagal dalam kejohanan kalah mati seperti Piala FA, kerana semangatnya sentiasa berbeza.
“Bagi saya, rakyat Sabah sudah lama menantikan pasukan mereka dimahkotakan sebagai juara, dan diharapkan para pemain mampu merealisasikannya pada perlawanan akhir ini,” katanya. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
