Belasah Indonesia cukup-cukup, Akhimullah pimpin skuad hoki negara sumbang emas pertama Sukan SEA


  • Podium
  • Rabu, 10 Dis 2025

Pingat emas sulung kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA 2025 hadir menerusi skuad hoki 5s lelaki. — Facebook/MHC

SKUAD hoki lelaki 5 sebelah (5s) negara menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan SEA Thailand 2025 selepas menewaskan Indonesia 7-3 di Padang Hoki Royal Thai Air Force, Bangkok pada Rabu.

Kapten negara, Akhimullah Anuar Esook membuka tirai jaringan pada minit ketujuh, sebelum Abid Sufian Mat Ruslee menggandakan kelebihan seminit kemudian.

Luqman Ahmad Shkuran menambah gol ketiga menjelang tamat separuh masa pertama.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ingatkan bonus', TMJ pernah 'warning' Hariss Harun jika gagal tewaskan Kelantan

BACA LAGI: Anak muda Selangor FC wajib turun lawan gergasi Singapura demi pengalaman bermakna

Skuad hoki 5s lelaki negara sumbang pingat emas pertama negara di Sukan SEA 2025. Facebook/MHC

Memasuki babak kedua, Akhimullah menjaringkan gol keduanya pada minit ke-17, namun Indonesia cuba bangkit apabila Mochamad Fathur merapatkan kedudukan pada minit ke-19.

Malaysia kembali mengukuhkan kedudukan apabila Sufian sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-22 bagi menjadikan kedudukan 5-1.

Indonesia bagaimanapun tidak berputus asa dan memperoleh dua gol pantas melalui Alfandy Prastyo pada minit ke-24 dan 25.

Dengan baki dua minit permainan, Akhimullah melengkapkan hatrik pada minit ke-29 sebelum Shafiq Ikmal Daniel menutup cerita gemilang Malaysia dengan gol ketujuh.

Ini merupakan kali pertama acara hoki 5s dipertandingkan di Sukan SEA. — The Star/S. SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram