'Dah jadi pattern', CEO NSFC persoal sampai bila mutu pengadilan mahu jadi topik pentas final?


  • Podium
  • Isnin, 15 Dis 2025

Beberapa keputusan penuh kontroversi disaksikan sepanjang 90 minit di pentas akhir Piala FA musim ini. — Facebook/Sabah FC

SEPERTI mana ramai menjangkakan, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan sebarang masalah untuk mempertahankan gelaran Piala FA buat kali keempat berturut-turut.

Kemenangan 5-0 dicatatkan ke atas Sabah FC dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) pada Ahad lalu sudah cukup menceritakan dominasi skuad Harimau Selatan.

Malah, sepanjang perlawanan, pasukan lawan kelihatan langsung tidak dapat mengatasi momentum ditampilkan anak-anak buah Xisco Munoz yang begitu mendahagakan kejayaan.

BACA LAGI: Pengadil aksi Selangor-Sabah tak sah? Didakwa sedang jalani penggantungan

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas 'coach' bola keranjang negara digantung, cederakan pengadil ketika berdepan pasukan Johor

JDT menepati ramalan dengan mengekalkan kejuaraan Piala FA. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, di media sosial, perdebatan hangat tercetus dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang mengkritik mutu pengadilan perlawanan.

Pengadil dimaksudkan, Kamil Zakaria Ismail mengeluarkan beberapa keputusan wajar dipersoalkan sepanjang 90 minit perlawanan seperti membatalkan jaringan Ajdin Mujagic.

Pada babak kedua pula, layangan kad kuning kedua ke atas Miguel Cifuentes yang menyaksikan pemain terbabit dibuang padang juga dipertikaikan melihat kepada rakaman semula perlawanan.

Kedua-dua momen itu mencuri tumpuan perlawanan akhir Piala FA kali ini yang turut mencuri perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus.

"Kelakar ya. Yang patut cek, tak cek. Yang tak patut cek, dia cek. Dah jadi 'pattern'. Lama-lama nanti orang muak. Itu pun kalau ada harapan lagi industri ni," tulisnya menerusi akaun X peribadinya.

Layangan kad kuning kedua terhadap Cifu menimbulkan 1,001 persoalan. — Facebook/Sabah FC

Faliq bukanlah satu-satunya peminat bola sepak tanah air yang mengkritik situasi berkenaan di media sosial apabila masalah itu turut diutarakan ribuan lagi penyokong.

Ini kerana perlawanan akhir kali ini bukanlah satu-satunya yang terjejas akibat mutu pengadilan kerana beberapa aksi terdahulu turut terpalit dengan insiden sedemikian.

Perlawanan akhir antara Terengganu FC dan JDT pada pentas akhir Piala Malaysia 2023 turut dicemari masalah sedemikian apabila pengadil bertugas, S Logeswaran mengeluarkan beberapa keputusan mencurigakan.

Pertembungan antara JDT dan Sri Pahang FC dalam final Piala Malaysia 2024/25 juga tidak terkecuali apabila penyokong mengkritik pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.

Namun, cemuhan dan kritikan dilemparkan tidak mencetuskan sebarang perubahan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum cuba membuat sebarang penambahbaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram