[VIDEO] Kecewa kelab jatuh ke liga bawahan, 3 remaja bakar stadium usia lebih 90 tahun


  • Podium
  • Jumaat, 12 Dis 2025

Keadaan Factory Field selepas kebakaran berkenaan pada Ahad.

SELURUH bangunan tempat duduk utama Stadium 'Factory Field' di Valkeakoski, Finland musnah dalam kebakaran besar selepas sekumpulan remaja menyalakan api pada Ahad.

Stadium bersejarah itu merupakan gelanggang rasmi gergasi bola sepak Finland, FC Haka dengan sembilan gelaran liga, namun kini berdepan detik sukar selepas tersingkir daripada saingan utama negara tersebut.

Menurut pihak berkuasa, api merebak dengan pantas dan menjilat keseluruhan struktur utama dalam beberapa minit sahaja, menyebabkan kerosakan material yang sangat besar.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong bergaduh lagi, kali ini di luar Stadium Paroi, entah bila perangai nak berubah?

BACA LAGI: Padah gagal kekalkan kebersihan stadium, JDT didenda AFC RM20,000, Selangor, FAM turut dihukum

Tiga remaja ditahan untuk membantu siasatan, manakala seorang berusia 15 tahun mengaku memulakan kebakaran itu, namun di bawah undang-undang Finland, individu di bawah umur tanggungjawab jenayah tidak akan didakwa.

Selain tempat duduk yang musnah sepenuhnya, padang rumput tiruan stadium berkenaan turut mengalami kerosakan ketara akibat haba dan serpihan runtuhan.

Presiden kelab, Marko Larsson mengakui kecewa, namun bersyukur kerana pihaknya menerima sokongan daripada orang ramai.

"Sokongan yang kami terima sangat besar dan kami akan memerlukannya lagi pada masa hadapan. Jumlah kerosakan belum dinilai, tetapi ia memang sangat besar," katanya.

Pengarah eksekutif, Olli Huttunen turut menyifatkan kejadian itu sebagai memalukan dan mengejutkan.

"Ini sangat mengejutkan apabila memikirkan betapa pentingnya Factory Field dalam bola sepak Finland. Tingkah laku tidak bertanggungjawab yang merosakkan harta benda awam sebegini adalah skandal. Malangnya, beginilah realiti dunia hari ini," ujarnya.

Pihak berkuasa bandar Valkeakoski memaklumkan, selepas siasatan selesai, struktur yang rosak akan dirobohkan sepenuhnya dan digantikan dengan binaan baharu dengan hanya rangka besi asal dikekalkan.

Stadium yang telah menjadi rumah FC Haka sejak 1934 itu terletak di pusat bandar Valkeakoski, yang mempunyai penduduk sekitar 20,000 orang.

Pihak bandar juga sedang menilai kerosakan padang dan berusaha mempercepatkan proses pemulihan secepat mungkin. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram