PELUANG kelab Liga Super menempatkan diri dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite bagi kempen 2027/28 kian tipis selepas persembahan kurang meyakinkan dua wakil negara.
Johor Darul Ta'zim (JDT) yang beraksi dalam pertandingan tersebut musim ini mengalami tempoh sukar dengan dua kemenangan, dua keputusan seri dan dua kekalahan.
Situasi lebih sukar dialami Selangor FC dalam ACL Two dengan hanya satu mata dikutip skuad Gergasi Merah dengan baki lima perlawanan berakhir dengan kekalahan.
BACA LAGI: Maruah ditebus, keputusan ikat Bangkok United bolehkan Selangor kukuh MA ranking

Skuad Gergasi Merah menampilkan prestasi cukup mengecewakan sepanjang kempen ACL Two.
Kutipan mata mengecewakan itu sekali gus memberi tamparan hebat dari segi sumbangan mata MA ranking negara yang turut memberi kesan terhadap kedudukan Malaysia di Asia.
Hal tersebut ditekankan menerusi laman Facebook BiKem Studio yang menjelaskan sekiranya perkara itu berterusan, tidak mustahil sekiranya negara bakal kehilangan slot ke ACL Elite 2027/28.
Jelasnya, kebarangkalian itu tercetus berikutan prestasi baik kelab Vietnam dalam saingan ACL Two selain kecemerlangan wakil Australia secara keseluruhan.
"Nampaknya pasukan Vietnam semakin merapatkan kedudukan mereka dengan kita . Kini, hanya dibezakan sekitar 1.914 sahaja dan Australia semakin jauh meninggalkan kita.
"Mujur satu pasukan Vietnam tewas pada perlawanan semalam. Jika tidak mereka mampu memintas ranking kita," tulisnya sambil menyertakan keputusan kelab ketiga-tiga negara di pentas Asia sepanjang minggu lalu.

Kedudukan negara semakin merisaukan dalam kedudukan mata MA ranking. — Facebook/BiKem Studio
Ini termasuk kekalahan Selangor FC di tangan Lion City Sailors dalam perlawanan penutup ACL Two sementara JDT hanya mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Shanghai Port.
Berdasarkan kedudukan semasa, Malaysia berada di tangga keenam antara negara di Zon Asia Timur dengan 39.934 mata terkumpul setakat ini.
Sekiranya prestasi membimbangkan berterusan, tiada wakil negara berpeluang melangkah ke ACL Elite 2027/28 dengan satu slot automatik ACL Two diberikan sementara sebuah lagi pasukan perlu menempuhi pusingan kelayakan.
Jika perkara itu berlaku, ini merupakan satu kerugian kerana kali terakhir hal sedemikian berlaku adalah pada 2017 apabila kelab teratas perlu menempuhi pusingan kelayakan ACL. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
