PENYERANG import berbisa Liga Super, Ifedayo Olusegun meneruskan rentak cemerlangnya dalam arena bola sepak tanah air meskipun usianya kini sudah mencecah 33 tahun.
Dia yang memilih untuk menyertai PDRM FC pada jendela perpindahan yang lalu kini mendahului dalam carta penjaring terbanyak selepas tiga perlawanan dengan tiga gol dijaringkannya.
Sumbangan itu membolehkan skuad Sang Saka Biru berada di tangga keenam Liga Super dengan empat mata direkodkan meskipun tewas dalam aksi pembukaan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC.
BACA LAGI: Sang Seladang tersungkur di gelanggang sendiri, Ifedayo wira PDRM
BACA LAGI: Ifedayo antara 3 bintang, bakal hantui bos lama dalam aksi pembukaan Liga Super
Ifedayo sudah menjaringkan tiga gol buat skuad Sang Saka Biru.
Prestasi membanggakan dipamerkan pemain kelahiran Nigeria tersebut sudah tentu dicemburui bekas majikannya memandangkan Ifedayo pernah beraksi untuk beberapa pasukan tempatan.
Salah satu pasukan yang pastinya merindui kelibat pemain berkenaan ialah skuad Sang Kenari dengan kelab berkenaan pernah diwakilinya bermula pertengahan musim 2023.
Meskipun hanya beraksi dalam 11 perlawanan, Ifedayo membawa pulangan cukup berbaloi dengan 12 gol direkodkannya, termasuk ketika skuad kendalian Nafuzi Zain itu menamatkan rentetan kemenangan Johor Darul Ta'zim.
Kehilangannya sudah tentu amat dirasai, lebih-lebih lagi dengan dua penyerang Kedah, Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah masih belum menggegarkan gawang lawan sementara Syafiq Ahmad mengalami kecederaan.
Ifedayo merupakan seorang penyerang cukup prolifik buat skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
"Bermain dengan Kedah tidak berapa nak menjadi, tetapi apabila menyertai pasukan lain, menjadi pula?" komen Hisham Zainon.
"Ifedayo bermain cukup baik, tetapi tip untuk beraksi dengan cemerlang buat mana-mana kelab adalah dengan bayarlah gaji elok-elok. Bermain demi lencana di dada hanya sistem elok," kata Jar Heem.
"Makin hebat pula Ifedayo ni, sayang pula apabila Kedah lepaskan," kata Aiman Johary.
Sebelum menyertai skuad Sang Kenari, penyerang tersebut menempa namanya sepanjang beberapa tahun mewakili Selangor FC dan Melaka United dengan Anugerah Kasut Emas pernah diraihnya.
Meskipun tidak pernah menjulang apa-apa gelaran dalam arena bola sepak tanah air, rekodnya di hadapan pintu gol sudah cukup untuk mengangkatnya sebagai salah seorang import terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram