BEKAS penyerang kebangsaan tanah air, Shahrel Fikri memilih untuk menyarung jersi PDRM FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024/2025 selepas setahun beraksi bersama Negeri Sembilan FC (NSFC).
Pemain berusia 30 tahun berkenaan beraksi bersama Negeri Sembilan pada musim lalu dan mencatatkan tujuh gol dan dua bantuan jaringan dalam 19 penampilan dia diturunkan dalam semua kejohanan.
Penghijrahan ke kelab Lembah Klang berkenaan bagaimanapun tidak memberi perubahan besar kepada bekas penyerang Selangor FC itu apabila Shahrel bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad Sang Saka Biru.
BACA LAGI: Shahrel Fikri tak cukup, Sang Saka Biru dedah penyerang Kedah OTW ke Lembah Klang
BACA LAGI: [VIDEO] Elak gaya hidup mewah antara petua legenda Harimau Malaya buat bintang muda menyinar
Selepas tiga perlawanan yang sudah diharungi pasukan kendalian P. Maniam, Shahrel hanya diturunkan sebagai pemain gantian dengan hanya mencatat 21 minit permainan sahaja untuk aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang FC.
Malah, kehadiran penyerang import seperti Ifedayo Olusegun dan Bruno Suzuki membuatkan Shahrel perlu bermain di skuad PDRM Bawah 23 (B-23) tahun demi mendapatkan minit permainan.
Meskipun, hanya beraksi bersama pasukan B-23 tetapi Shahrel tetap melihatnya sebagai satu perkara yang positif bagi memperbaiki dirinya sambil berkongsi pengalaman dengan pemain muda Sang Saka Biru.
"Saya rasa tiada masalah untuk main B-23 sebab dengan pasukan utama pun saya tahu susah nak dapat tempat disebabkan import sedia ada. Apabila diturunkan ke bawah, moral saya tidak turun juga dan anggap untuk minit permainan.
"Perpindahan saya dari Negeri Sembilan ke PDRM satu benda baik walaupun sukar nak tembus kesebelasan utama. Terlalu awal nak letak sasaran peribadi, saya hanya perlu mental yang kuat untuk bermain kesebelasan utama," katanya.
Ifedayo (kiri) bermain sebagai penyerang utama PDRM FC. — Facebook/PDRMFC
Shahrel ditemui selepas aksi menentang Penang FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu dengan menyaksikan PDRM FC mencatat keputusan seri terikat 1-1 dengan Penang FC.
Ifedayo berjaya mencetak nama selaku penjaring gol pertama perlawanan pada minit ke-32 apabila menanduk masuk bola dalam kawasan kotak penalti.
Manakala, Harimau Kumbang pula bangkit pada separuh masa kedua apabila meraih gol penyamaan menerusi Rodrigo Dias pada minit ke-52 perlawanan.
Keputusan penuh seri 1-1 di gelanggang lawan ini menyaksikan Penang FC kini berada di tangga keenam Liga Super hasil tiga keputusan seri, iaitu satu mata kurang di belakang PDRM FC yang memungut empat mata hasil dua kemenangan dan satu seri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram