[VIDEO] 'Tan Sri Daud Bakar tidak keseorangan', syarikat anak jati ada RM2 juta dalam tangan sedia taja jersi Kedah berteknologi AR


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mei 2024

Kedah masih menyarung jersi pramusim susulan masalah kewangan dihadapi ketika ini. — Facebook/KDAFC

"TAN Sri Mohd Daud Bakar tidak keseorangan."

Demikian jaminan yang dilontarkan oleh sebuah syarikat tempatan, Santai Mesra yang tampil ingin membantu membaik pulih kewangan Kedah Darul Aman (KDA) FC dari segi penajaan jersi pasukan.

Santai Mesra yang menawarkan servis baju secara pukal dan atas talian itu tergerak hati untuk membantu skuad Hijau Kuning selepas sedih melihat kelab kesayangan dirundung masalah kewangan sehingga difahamkan hanya mampu bertahan kurang daripada dua bulan.

Syarikat pakaian dari Alor Setar itu menawarkan tajaan berbentuk jersi kepada Kedah pada musim depan, namun masih terbuka untuk memberi bantuan lain jika pihak pengurusan sudi mengadakan perbincangan dengan mereka.

BACA LAGI: Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan

BACA LAGI: Tarik diri pun tak selesaikan masalah kewangan KDA FC

Pengarah Bukan Eksekutif Santai Mesra, Izaharul Khairi menyatakan bahawa meskipun belum berjumpa secara rasmi dengan Tan Sri Daud namun pihak mereka sudah berhubung dengan Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) untuk mencari jalan menjadi penaja.

"Tan Sri tidak keseorangan tapi tak jumpa lagi banyak syarikat yang nak menaja Kedah. Antara laluan yang Santai Mesra nak masuk untuk memberi tajaan adalah melalui Koperasi Anak Kedah.

"Perbincangan secara bertentangan mata belum ada bersama Tan Sri tapi kami dah berhubung dengan Koperasi Anak Kedah. Tan Sri pun ahli Koperasi Anak Kedah, jadi ia akan jadi platform perbincangan. Beliau (Tan Sri Daud) memang nak anak jati Kedah menaja.

"Kedah adalah seperti Brazil yang memang dah sebati dengan bola sepak. Sentiasa ada anak Kedah yang boleh main bola sepak, sedih jika lihat ia terkubur," katanya kepada Majoriti ketika ditemui di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Izharul, Santai Mesra memberi bayangan boleh memberi suntikan dana sehingga RM2 juta sekiranya perjanjian untuk menjadi penaja jersi musim depan termaterai bersama pihak KDA FC.

WhatsApp Image 2024-05-24 at 20.02.05

Aidil Ezlan (belakang, kanan) bersama wakil kakitangan Santai Mesra.

"Jika nak nilai tajaan dari skuad utama ke skuad bawah belia, nilai harga jualan pasaran dengan harga jersi mungkin dapat RM2 juta. Dari segi costing, untuk RM2 juta memang baju kami nak taja ini dah sedia.

"Kalau kami boleh bagi RM6 juta, adakah itu boleh menjamin kewangan Kedah? Akhirnya Kedah perlu sumber kewangan berterusan, jangan harap satu pihak. Cuma kalau nak RM4 juta, kena duduk berbincang tetapi RM2 juta dalam tangan boleh bagi," jelasnya.

Bercakap mengenai jenis jersi tajaan Santai Mesra, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Aidil Ezlan Naza menjelaskan bahawa ia akan dibuat dengan elemen teknologi Augmented Reality (AR) atau reliti terimbuh.

AR merupakan teknologi yang memberi pengguna mengalami suatu pengalaman maya dalam bentuk 2D atau 3D dan ia akan mengandungi info mengenai kelab pada jersi berkenaan, sekali gus memberi satu nilai tambah untuk si pemakai.

"Bila dah buat baju sejak 2018, kami cuba tengok apa masa depan baju. Sekarang baju banyak fesyen tapi kami nak bagi story telling untuk baju. Jadi kami nak bawa baju yang menceritakan dengan AR.

WhatsApp Image 2024-05-24 at 20.06.44

Kedah kini bergelut untuk mendapatkan bantuan kewangan. Facebook/KDAFC

"Setiap baju yang penyokong dan pemain akan pakai nanti akan mengandungi info pemain. Benda teknologi ini boleh di update dari semasa ke semasa. Tapi bila dah buat begini, perlu ketepikan hal harga dahulu.

"Untuk cakap pasal rekaan, kami akan ikut trend ketika itu. Rekaan sangat senang cuma bila nak masukkan part AR akan perlukan masa untuk masukkan data sebab nak hidupkan satu baju seperti nama kami Mantra.

"Kami tidak akan letak harga mahal. Kami yakin orang Kedah tiada isu nak beli sebab mereka memang nak tolong Kedah. Harap semua penyokong akan beli yang original untuk bantu kelab.

"Kami nak tengok risiko apa kami akan lalui jika menaja. Sebelum nak taja untuk Kedah. Musim ini Kedah dah ada AL, jadi kami sasar tahun depan. Kelab hebat pun belum ada teknologi ini, Kedah mungkin pertama akan ada baju dengan teknolgi AR," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-05-24 at 20.05.15

Tan Sri Daud mendedahkan KDA FC dijangka mampu bertahan kurang daripada dua bulan. — Facebook/KDAFC

Susulan masalah kewangan yang dihadapi Kedah ketika ini, Sang Kenari tidak melancarkan jersi bagi saingan Liga Super 2024/2025 kerana masih tiada penaja utama meskipun saingan liga sudah bermula.

Sebelum ini pihak pengurusan Kedah dalam satu kenyataan berkata, pihak pengurusan mencapai kata sepakat dengan penaja jersi musim ini iaitu AL Sports Sdn Bhd bagi menangguhkan sementara pelancaran jersi sehingga berjaya mendapatkan penaja utama.

Memasuki minggu ketiga, Kedah masih menggayakan jersi pramusim mereka dan ia akan berkekalan selepas pemilik kelab, Tan Sri Daud mendedahkan KDA FC dijangka mampu bertahan kurang daripada dua bulan susulan tidak mempunyai kewangan yang kukuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram