Ifedayo antara 3 bintang, bakal hantui bos lama dalam aksi pembukaan Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 08 Mei 2024

Ifedayo merupakan satu pelaburan cukup berbaloi buat skuad Sang Kenari pada separuh musim Liga Super 2023. — Facebook/KDA FC

SELEPAS lima bulan berehat, saingan Liga Super bakal bermula dengan enam perlawanan bakal disajikan buat tatapan umum sepanjang hujung minggu ini.

Aksi Piala Sumbangsih antara dua kelab teratas musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor memulakan kempen baharu pada Jumaat.

Perhatian pasti diberikan terhadap kedua-dua pasukan tersebut kerana persiapan dibuat sudah mencukupi untuk membuatkan mereka calon pencabar Liga Super.

BACA LAGI: Jendela perpindahan dibuka, 3 punca kelab Liga M kerap 'recycle' bintang import

BACA LAGI: Jendela peluang import baharu belum nampakkan banyak perubahan

21587335_10155809075752074_423864203853910986_o

Trofi Liga Super akan kembali menjadi rebutan kesemua pasukan Liga Super.

Selepas itu, lima lagi pertembungan bakal berlangsung dengan kesemua kelab kecuali Negeri Sembilan FC bakal beraksi demi meraih mata pertama.

Bagaimanapun, melihat kepada jadual dikeluarkan, beberapa pasukan bersaing pastinya sedikit gusar perancangan dibuat tidak membuahkan hasil apabila mudah dibaca lawan.

Perkara itu boleh terjadi sekiranya lawan masing-masing menurunkan bekas pemain yang sudah sinonim dengan latar belakang serta gaya permainan bakal diterapkan.

Meskipun perubahan masih dapat dibuat, mereka yang sudah berubah angin itu pastinya tahu akan cara bakal digunakan untuk meraih kemenangan dalam perlawanan terbabit.

Berdasarkan perlawanan bakal berlangsung, terdapat tiga pemain yang dijangka 'menghantui' kelab lama dalam aksi pembukaan Liga Super 2024/25.

1. Ifedayo Olusegun vs KDA FC

Pulangan cukup berbaloi diberikan penyerang berbisa, Ifedayo Olusegun ketika menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC pada jendela perpindahan kedua liga musim lalu.

Meskipun sudah berusia, pemain itu masih mudah menembusi benteng pertahanan lawan dengan 12 gol dan satu bantuan jaringan dicatatkan dalam 15 penampilan secara keseluruhan.

Bagaimanapun, perubahan perancangan daripada pengendali, Nafuzi Zain menyaksikan khidmat Ifedayo tidak dikekalkan dengan Kedah lebih berminat untuk mencari pemain lebih muda dan cergas.

440982817_18017547794470634_4123015685804603080_n

Ifedayo kini sudah semakin serasi bersama skuad Sang Saka Biru. Facebook/PDRM FC

Menyedari akan rekodnya yang bersinar, PDRM FC bertindak menyambar khidmatnya untuk menajamkan lagi jentera serangan pasukan dengan dia bakal diturunkan di samping Bruno Suzuki.

Perancangan itu pasti akan diambil dalam perlawanan pembukaan mereka menentang skuad Sang Kenari di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu ini.

Ifedayo juga boleh dikatakan semakin selesa dalam kelab Lembah Klang itu apabila menjaringkan dua gol ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan persahabatan.

Jadi, Kedah pasti perlu lebih berwaspada dalam pertembungan berkenaan bagi mengelak penyerang berusia 33 tahun tersebut mudah menembusi benteng pertahanan mereka.

2. Azfar Fikri vs Terengganu FC

Sepanjang jendela perpindahan kali ini, Perak FC lebih berwaspada dalam merekrut wajah-wajah baharu berbanding ketika musim kepulangan mereka ke Liga Super pada 2023.

Gandingan pemain muda dan berpengalaman menjadi pendekatan kali ini dengan langkah tersebut sudah membuahkan hasil seperti mana disaksikan sepanjang tempoh pramusim.

Salah seorang pemain baharu disambar skuad The Bos Gaurus (TBG) ialah Nur Azfar Fikri yang lebih kerap berada dalam pasukan simpanan Terengganu FC.

438829446_445950507985330_111228752172785549_n

Azfar berpotensi diberikan lebih banyak peluang dalam skuad TBG berbanding Terengganu FC. Facebook/Perak FC

'Ubi muda' itu dijangka memainkan peranan lebih penting bersama Perak FC kerana ketua jurulatih, Yusri Che Lah cenderung untuk memberikan peluang buat mereka.

Namun, sekiranya diturunkan dalam aksi pembukaan Liga Super, ia akan memberikan kelebihan buat kelab Utara tanah air berkenaan kerana Azfar pasti mempunyai pengetahuan mengenai skuad Sang Penyu.

Meskipun kurang diberikan peluang di Pantai Timur, tempoh latihannya pasti membuatkannya tahu selok belok akan corak permainan finalis Piala Malaysia 2022 itu.

3. Tchetche Kipre vs Kuala Lumpur City FC

Revolusi Kuching City FC dapat disaksikan sepanjang jendela perpindahan apabila mereka lebih berani untuk membuat pelaburan selepas musim pertama yang mengecewakan.

Penyerang KL City FC, Tchetche Kipre merupakan antara pemain yang disambar dengan pengalamannya dalam arena bola sepak tanah air menjadi tarikan.

Meskipun usianya sudah mencecah 36 tahun, lapan gol dan tiga bantuan jaringan direkodkan sudah cukup untuk menceritakan kualiti yang masih dimilikinya.

438305493_978268594191239_7238134751334926548_n

Kipre bakal kembali bertemu majikan lamanya dalam aksi pembukaan Liga Super 2024/25. Facebook/Kuching City FC

Sumbangan tersebut pasti diharap dapat diteruskan dalam aksi pembukaan ketika skuad The Cats berkunjung ke Stadium Cheras, KL untuk berdepan KL City FC.

Motivasi juga pastinya dirasai Tchetche sendiri kerana dia pernah menyarung jersi kelab di ibu kota itu musim lalu, namun jodoh mereka tidak berkekalan.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu dijangka tidak berdepan masalah berkenaan kerana dia akan dibantu pemain berkualiti seperti Petrus Shitembi dan Jordan Mintah di Kuching City FC.

Selain itu, perancangan Aidil Sharin Sahak juga akan mudah difahami Tchetche kerana masing-masing pernah bergandingan semasa di Kedah beberapa musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram