Selangor FC raih hak untuk ‘enjoy’ di sebalik kontroversi raikan jaringan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 27 Mei 2024

Selangor kini tidak dibolosi dalam dua perlawanan terakhir Liga Super.

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

GELAGAT lima pemain Selangor FC meraikan gol kedua mereka dalam kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ pada Ahad benar-benar mencuit hati lantaran ia ada sejarahnya yang tersendiri.

Sejurus rembatan rendah Yohandry Orozco pada minit ke-66 itu terbias dari kaki Noor Al-Rawabdeh lalu menerjah masuk, kedua-dua pemain itu segera disertai Ronnie Fernandez, Reziq Bani Hani dan Sharul Nazeem Zulpakar duduk bersila dengan lakonan menyuap makanan ke mulut masing-masing.

Mungkin ramai tidak mengingati keraian gol dengan cara yang sama membawa padah dalam Kejohanan Piala Asia di Qatar, Januari lalu.

BACA LAGI: Jelmaan Faisal Halim antara 4 pemain muda Selangor, Sabah berpeluang tunjuk taring di Indonesia

BACA LAGI: Muncul jadi MOTM, penyokong Harimau Kumbang ‘request’ Penang FC tebus kontrak import pinjaman Selangor

Penyerang Iraq, Aymen Hussein, dilayangkan kad kuning keduanya dan dibuang padang kerana gelagat serupa selepas golnya pada minit ke-77 memberi pasukannya pendahuluan 2-1 dalam perlawanan pusingan 16, Piala Asia berdepan Jordan, 29 Januari lalu.

Kad merahnya itu memberi laluan kepada Jordan – yang turut menampilkan Al-Rawabdeh dalam kesebelasan utama -- menambah dua gol dalam masa pemberhentian di penghujung permainan untuk menang 3-2 dan mara ke peringkat suku akhir.

Susulan kontroversi yang timbul daripada lagak Aymen itu, hingga keputusan pengadil, Alireza Faghani dari Iran, dikritik hebat jurulatih Iraq, Jesus Casas, penganjur merujuk kepada Peraturan 12 Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) berkaitan gelagat meraikan jaringan sebagai pembelaan.

Kesalahan Aymen itu boleh dikategorikan sebagai melakukan gelagat dengan cara menimbulkan provokasi, mengejek dan menimbulkan kemarahan.

Tapi mujur buat ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, dan anak-anak buahnya, pengadil perlawanan malam tadi tidak melihat gelagat itu – mungkin diilhamkan oleh Al-Rawabdeh daripada pengalaman Piala Asia -- sebagai satu kesalahan.

Sebaliknya, ia satu keraian sebagai menandakan Gergasi Merah sudah benar-benar bangkit selepas kebuntuan mendapatkan jaringan di sebalik mencipta banyak peluang sepanjang separuh masa pertama tetapi mendapati penjaga gol pelawat, Aqil Razak, menjadi penghalang utama.

Ronnie

Fernandez menjaringkan gol debut bersama Selangor.

Sekurang-kurangnya lima percubaan menerusi Orozco, Fernandez, Alvin Fortes, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Al-Rawabdeh digagalkan penjaga gol berusia 27 tahun itu tetapi mereka menebusnya dengan empat gol dalam separuh masa kedua – selebihnya menerusi Orozco dan Reziq – untuk tuan rumah berpesta.

Kamera televisyen turut beberapa kali tertumpu kepada Nidzam yang berpelukan dengan barisan kejurulatihannya setiap kali jaringan terhasil dan selayaknya dia menikmati detik berkenaan selepas mereka hanya mampu mengukir kemenangan 1-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di stadium sama 18 Mei lalu.

"Lemau," kata pengulas jemputan siaran langsung RTM, Khalid Jamlus, sebagai menyimpulkan kesukaran Selangor FC untuk menewaskan Aqil di antara dua tiang gol Negeri Sembilan FC dalam separuh masa pertama itu.

Namun, nada ulasannya berubah dalam 45 minit kedua apabila bekas penyerang Perak FC dan skuad kebangsaan itu memuji perubahan yang ditampilkan tuan rumah untuk lebih menghargai peluang dan memilih detik terbaik untuk meledakkan jaringan.

Statistik di hujung perlawanan menunjukkan Selangor FC memiliki 56 peratus pemilikan bola yang menghasilkan 29 percubaan gol, dengan 11 daripadanya tepat ke sasaran sebagai menyerlahkan penguasaaan penuh mereka.

"Kita ada first half dan second half yang berlainan. First half kita nak main bola lebih banyak. Second half kita tunjuk kita betul-betul inginkan kemenangan ini," kata Nidzam seusai perlawanan.

Reziq Bani

Reziq turut tersenarai sebagai penjaring gol dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan.

Ditanya apa yang diberitahunya kepada pemain-pemain di dalam bilik persalinan ketika rehat separuh masa, ketua jurulatih itu mengungkapkan: "Saya tak beritahu apa-apalah. Saya cuma cakap second half kita kena menang game ini untuk semua keluarga dan 10,000 penyokong yang datang."

Harus ada banyak perkara positif yang membuat Nidzam ditumpukan kamera televisyen senyum meleret-leret sepanjang separuh masa kedua itu.

Antaranya, Selangor FC kendaliannya mampu mengubah arus perlawanan pada waktu ia diperlukan berdepan lawan yang mengamalkan corak bertahan dan bergantung kepada serangan balas sekali-sekala menerusi pemain lincahnya, Takumi Sasaki, yang hampir menggoncang jaring hasil larian solonya seminit sebelum rehat hanya untuk melihat rembatannya sipi.

Kedua, dua pemain serangan importnya, Fernandez dan Reziq, sudah ‘pecah telur’ seawal perlawanan kedua lagi, meninggalkan pemain sayap, Fortes, yang masih tercari-cari sentuhan jaringan.

Ketiga, pemain yang dianggapnya paling bekerja keras dalam latihan dan perlawanan, Mukhairi Ajmal – mengakui dirinya tidak disukai ramai gara-gara persembahan hambar bersama barisan muda kebangsaan dalam Piala Asia B-23 di Qatar – sudah menemui keyakinannya semula.

Di sebalik kegagalannya menyudahkan peluang hasil lorongan Fernandez pada minit ke-31 ketika Aqil meluru ke arahnya untuk menutup ruang, Mukhairi lebih daripada menebusnya dengan umpanan jauh cantik untuk disudahkan Reziq pada minit akhir perlawanan.

"Itu hantaran macam bunga," kata Khalid Jamlus, yang menambah: “Mukhairi layak mendapat pujian hasil kerja kerasnya dalam perlawanan ini. Hantaran lintangnya banyak membuka peluang buat pasukan selain kerajinannya untuk memenangi bola.”

Selangor mendapat rehat singkat – terkecuali penyertaannya dalam kejohanan jemputan antarabangsa RCTI Premium Sports di Jakarta dari 30 Mei hingga 2 Jun – sebelum berdepan semula dengan Negeri Sembilan FC dalam aksi Piala FA di Petaling Jaya pada 15 Jun.

"Masa dua minggu ini adalah tempoh terbaik untuk kami mempersiap dan memugar semula pasukan dan kembali lebih baik untuk aksi seterusnya," kata Nidzam lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram