SKUAD kebangsaan menerima tamparan hebat selepas terpaksa melupakan khidmat penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad yang mengalami kecederaan menjelang baki dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun nanti.
Dalam pada itu, nama pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Zhafri Yahya dipanggil Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebagai pengganti tonggak Sang Kenari itu.
Perkara tersebut dikongsikan di laman rasmi Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menjelaskan bahawa pemain tengah KL City, Zhafri Yahya akan menggantikan tempat Syafiq.
BACA LAGI: Permohonan subsidi diesel, Budi Madani RM200 sebulan dibuka Selasa
BACA LAGI: JKM kesan waris bayi perempuan ditinggalkan tepi jalan di Gua Tempurung
Zhafri Yahya dipanggil Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menggantikan tonggak Sang Kenari itu. — Facebook/FAM
"Pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula pada Isnin bagi menghadapi dua perlawanan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 6 Jun dan Chinese Taipei pada 11 Jun 2024.
"Zhafri, 30, akan menggantikan tempat penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas disahkan mengalami kecederaan.
"Semoga Syafiq cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang," tulisnya di Facebook.
Zhafri menjadi pemain KL City yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan akan menyertai rakan sepasukan antaranya Paulo Josue, Brendan Gan, Haqimi Azim Rosli, Azri Ghani dan Declan Lambert.
Bagaimanapun, meninjau ruangan komen, terdapat beberapa penyokong tanah air tidak berpuas hati dengan keputusan Pan-gon yang memanggil Zhafri.
Ini kerana, nama bintang Johor Darul Ta'zim, Mohamadou Sumareh, tonggak Sri Pahang FC, Sergio Aguero dan pemain sayap Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor disebut lebih sesuai dipanggil ke skuad kebangsaan.
"Baik panggil Sumareh atau Aguero dari Zhafri ni," kata Zaquan Naim.
"Kalau ikutkan perform sekarang,Wan Zack layak sepatutnya tapi tak tahulah, dekat senarai menunggu pun tiada nama," kata Azlie Muhammad.
"Better lagi panggil Wan Zack itu, tengah perform pula sekarang," kata Shah Shahrizan.
Syafiq dilaporkan mengalami kecederaan semasa perlawanan Liga Super antara Kedah dengan Perak FC pada Jumaat lepas.
Sebelum ini, Pan Gon kehilangan Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales kerana masalah kecederaan selain Faisal Halim yang masih menjalani rawatan pemulihan selepas menjadi mangsa simbah asid, 5 Mei lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram