SESI pramusim adalah medan melihat keupayaan pemain baharu namun perlu diingat ia bukan alat pengukur untuk meletakkan harapan tinggi kepada mereka bagi memberikan persembahan cemerlang di saingan liga sebenar.
Musim ini, senario beberapa pemain import yang meraih pujian menggunung ketika sesi pramusim namun masih belum menunjukkan taring berlaku lagi sehingga tohmahan seperti enggan melihat mereka bermain sudah mula dilontarkan oleh penyokong.
Saingan Liga Super yang sudah selesai dengan perlawanan minggu ketiga menyaksikan beberapa import baharu dari tiga pasukan gergasi seperti Selangor FC, Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) menerima kritikan keras.
BACA LAGI: Jelmaan Faisal Halim antara 4 pemain muda Selangor, Sabah berpeluang tunjuk taring di Indonesia
BACA LAGI: Hilang dari radar, 3 bintang 'ghaib' ketika tirai Liga Super timbulkan tanda tanya
Perkara itu jelas menimbulkan persoalan seperti isu keserasian dengan pemain sedia, tidak sesuai dengan taktikal jurulatih dan kebarangkalian masih ada yang belum menyesuaikan diri dengan suasana Liga Malaysia (Liga M).
Merujuk kepada persembahan tiga perlawanan awal Liga Super musim ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang masih 'simpan kuku' dan belum menunjukkan potensi sebenar mereka;
1) Alvin Fortes
Penyokong menantikan Fortes untuk membuka akaun jaringan atau assist bersama Gergasi Merah. — Facebook/SelangorFC
Pemain antarabangsa Cape Verde, Alvin Fortes seolah-olah hilang arah tuju setakat tiga perlawanan ini selepas dia dilihat masih tidak berhasil menyumbang sebarang gol atau terlibat dalam bantuan jaringan.
Fortes tidak menyerlah dalam dua perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) dan kehadiran Reziq Bani Hani sebagai pemain gantian jauh lebih memikat hati penyokong.
Bermain selama 25 minit pada aksi menentang skuad Jang, Reziq Bani sudah mencetak satu gol dibandingkan dengan Fortes yang bermain selama 65 minit sebagai kesebelasan utama Gergasi Merah.
Sebelumnya, pemain sayap itu diangkat sebagai antara rekrut terbaik pasukan susulan menjadi watak utama ketika kelabnya menundukkan lawan dari Brunei, DPMM FC dengan menjaringkan dua gol dalam aksi Selangor Asia Challenge 2024 (SAC2024).
Selain menjaringkan dua gol dalam SAC2024, bekas pemain Ratchaburi FC itu turut menggegarkan gawang ketika berdepan Perak FC dan Negeri Sembilan FC sepanjang kempen pramusim.
2) Ismahil Akinade
Ismahil Akinade diambil sebagai pemain sandaran untuk mengurangkan beban dipikul penyerang import Croatia, Ivan Mamut namun sudah tiga perlawanan, tonggak berkenaan menjadi watak utama di bahagian serangan.
Akinade diberikan peluang memikul tanggungjawab untuk mengetuai jentera hadapan skuad Sang Penyu selepas Mamut disahkan masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan betis yang dialaminya semasa sesi pramusim.
Peluang diberikan oleh pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner itu juga diambil selepas penyerang berusia 30 tahun berkenaan tampil dengan persembahan memuaskan ketika sesi pramusim berkenaan.
Namun, percaturan menggunakan Akinade kurang mendapat pulangan apabila dia dilihat tidak agresif sebagai penyerang utama dalam perlawanan menentang Perak FC (3-1), Penang FC (0-0) dan menang 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC pada Jumaat.
Sepanjang 201 minit bermain sebagai penyerang utama TFC dalam tiga perlawanan itu, Akinade masih belum bersinar dan masih memerlukan penalti untuk dapatkan gol. Akinade mencetak satu gol menerusi sepakan penalti semasa berjumpa Kijang Emas.
3) Francisco Geraldes
Geraldes hanya diturunkan ketika menentang KL City FC. — Facebook/JDT
Diumumkan sebagai rekrut kedua JDT, Francisco Geraldes yang mempunyai pengalaman di pentas Eropah diramal akan memainkan peranan penting sebagai jeneral dalam saingan baharu ini.
Pemain kelahiran Portugal tersebut hadir dengan reputasi cukup baik apabila pernah mewakili beberapa pasukan sekitar Eropah, termasuk Sporting Lisbon dan Eintracht Frankfurt di Jerman.
Selain mempunyai portfolio yang menjanjikan, penyokong bertambah yakin dengan tonggak berusia 29 tahun berkenaan apabila dia mencatat sebagai salah satu penjaring keika sesi pramusim JDT di Sepanyol.
Ekspektasi penyokong terhadap kebolehan Geraldes sedikit meleset selepas pemain kelahiran Portugal itu tidak terlibat dalam aksi pembukaan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor dan tidak menyumbang sebarang gol dan jaringan bantuan ketika menentang Kuala Lumpur (KL) City FC.
Setakat ini, Geraldes hanya diturunkan dalam aksi menentang skuad Warga Kota dan dia beraksi untuk tempoh 84 minit pada perlawanan menyaksikan JDT menang 5-1 ke atas KL City FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram