BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
AKSI Liga Super sudah banyak menyaksikan perubahan nasib penjaga gol. Ada yang kehilangan tempat kesebelasan utama untuk satu tempoh panjang gara-gara cedera atau kemerosotan prestasi, ada yang kemudian ‘berkarat’ kerana lama tidak beraksi dan tidak kurang juga ada yang digilir-gilirkan bagi menghangatkan lagi perebutan tempat antara mereka.
Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, juga tidak terkecuali apabila memberikan bekas penjaga gol PDRM FC, Ramadhan Hamid, debut selepas Haziq Nadzli bolos enam gol dalam dua perlawanan pertama The Bos Gaurus.
Mungkin sudah tuah penjaga gol berusia 30 tahun itu – diumum menyertai Perak FC pada 30 Januari 2024 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan T Shaheeswaran yang kini bersama Melaka FC dan Bryan See yang memilih PDRM FC – skuad Seladang itu mencipta kemenangan sulung 2-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar pada Jumaat.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Keeper' ceroi jadi kenangan pahit fans Kedah kali terakhir terima kehadiran TBG
BACA LAGI: Dua gol klinikal import TBG bikin Sang Kenari gigit jari di laman sendiri
Shaheeshwaran meninggalkan skuad TBG pada jendela perpindahan lalu. — Facebook/Perak FC
Di sebalik ketangkasannya dalam memastikan pintu gol Perak FC tidak bolos, Ramadhan diberi ingatan agar jangan sesekali 'tidur' selepas ini atau akan kehilangan tempatnya semula kepada Haziq.
Selain kedua-duanya, skuad TBG itu memiliki penjaga gol muda, Firdaus Irman Mohd Fadhil, 22, yang menyertai pasukan dari Negeri Sembilan FC, Mac lalu.
Baik Ramadhan mahupun Haziq, kedua-duanya mungkin boleh melihat kepada nasib bekas penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid, bersama Selangor FC musim lalu.
Hilang tempatnya selepas kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 Jun 2023, dia terpaksa merelakan Sam Somerville diangkat selaku penjaga gawang nombor satu sebelum mendapat peluang semula enam bulan kemudian ketika menang 3-1 ke atas PDRM FC dalam perlawanan terakhir liga pada 17 Dis 2023.
Nun di Utara, Ifwat Akmal Chek Kassim turut kehilangan tempatnya di antara dua tiang gol selepas KDA FC pada 7 Dis 2022 mengumumkan telah mengikat bekas penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, dengan kontrak dua tahun.
Kalamullah (kiri) dan Ifwat terus bersaing untuk slot utama penjaga gol Kedah. — Facebook/KDA FC
Sejak itu, Kalamullah dilihat liat sekali untuk melepaskan tempatnya kecuali bolos dua gol kepada Perak FC mungkin mengundang pertukaran buat sementara.
Berbeza pula keadaannya dengan Sri Pahang FC yang musim lalu menyaksikan ketua jurulatih, Fandi Ahmad, kerap menggilirkan Izham Tarmizi Roslan dengan Zarif Irfan Hashimuddin.
Izham bagaimanapun sudah kembali ke JDT selepas tempoh pinjamannya tamat dan digantikan oleh Azfar Arif Sukri (Penang FC) dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi (KDA FC).
Nasib penjaga gol sebenarnya tiada sebarang jaminan. Penjaga gol JDT, Syihan Hazmi Mohamed yang dilihat kebal tewas buat kali pertama musim lalu apabila gagal menyelamatkan sepakan penalti pemain import Kelantan FC, Leonardo Rolon, pada 11 Mac, diikuti jaringan pemain import Terengganu FC, Sony Norde, pada 9 Jun dan jaringan Matko Zirdum (KL City) pada 3 Julai.
Malah, Syihan bolos sehingga tiga gol – jaringan Ifedayo Olusegun, Manuel Ott dan Amirbek Dzhuraboev – ketika terikat 3-3 dalam perlawanan dramatik dengan KDA FC di Alor Setar pada 26 Ogos. Ia satu-satunya perlawanan yang JDT keciciran mata.
Berbalik kepada penampilan sulung Ramadhan itu, Yusri akur kepada tuntutan penyokong selepas Haziq bolos tiga kali dalam kekalahan 1-3 kepada Terengganu FC di tempat lawan pada 11 Mei lalu, disusuli tiga gol lagi ketika tunduk 2-3 kepada PDRM FC di Ipoh genap seminggu kemudian.
Haziq ialah seorang lagi penjaga gol dimiliki skuad TBG musim ini. — Facebook/Perak FC
“Cuma malam ini (Jumaat lalu) apabila sering kali dia keluar untuk mendapatkan bola mungkin itu satu kelebihan untuk beliau (Ramadhan).
“Saya rasa hampir 90 peratus beliau berjaya untuk melaksanakan high ball crossing daripada pasukan Kedah. Untuk itu, (ini) penampilan 90 minit pertama yang baik untuk Ramadhan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu.
“Dan yang bagusnya Haziq sentiasa ‘mencucuk’ beliau... maksudnya tidak boleh ‘tidur’ kerana seandainya dia ‘tidur’ selepas ini, giliran Haziq akan masuk semula.
“Jadi, inilah yang saya katakan pemain reserve, seandainya dia lebih fokus untuk menanti bilakah masa terbaik, itu yang terjadi,” tambahnya mengenai Ramadhan, yang musim lalu digilirkan dengan Nur Hakeem Hamidun dan Aqil Razak di pintu gol PDRM FC.
Yusri juga mengalu-alukan tempoh rehat singkat liga sehingga aksi Piala FA berdepan Terengganu FC di Kuala Terengganu pada 14 Jun dapat meluangkan untuk pemain-pemainnya yang cedera kembali pulih.
Yusri (tiga dari kiri) sudah tentu berpuas hati dengan pilihan dimilikinya. — Facebook/Perak FC
Dua pemain importnya, Adilet Kanybekov yang juga kapten skuad bawah 23 tahun Kyrgyzstan, dan Jesper Nyholm (Filipina) sudah dilepaskan untuk tugasan bersama skuad kebangsaan masing-masing.
Kebetulan Perak FC hanya dapat membawa 19 pemain dalam kunjungan ke Alor Setar disebabkan masalah kecederaan dan kecergasan – Sunday Afolabi dan bek kanan, Aiman Yusni, kedua-duanya mengalami kecederaan pinggul manakala Azalinullah Alias pula demam.
“Walaupun momentum (tempoh rehat liga) agak mengganggu, tetapi di dalam kesedihan kita ada kegembiraan. Masa yang terluang itu memungkinkan ramai pemain akan berada di tahap terbaik semula.
“Sunday sudah hampir empat minggu tak bersama pasukan. Selepas dia cuba untuk beraksi di Terengganu tapi kita lihat dia masih lagi di tahap tidak membimbangkan, jadi kita terus merehatkan beliau.
“Saya amat berharap semua pemain lebih segera sembuh kerana perjuangan kita belum selesai. Kita akan bertemu dua lagi jaguh bola sepak negara, Terengganu FC dan Selangor FC (di Petaling Jaya pada 23 Jun),” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram