Siap ucap selamat tinggal, penyerang versatil hampir pasti gegar gawang lawan Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 03 Jan 2023

Wilian menabur bakti bersama kelab Jepun itu selama dua musim — Instagram/Wilian

KEDAH Darul Aman (KDA) FC dilihat semakin kerap mengumumkan berita baik kepada penyokong Sang Kenari, bermula dengan pengumuman Nafuzi Zain sebagai pengendali baharu sehingga sesi perkenalan wajah-wajah baharu pemain mereka.

Setakat ini sebanyak lapan pemain tempatan baharu, selain dua tonggak import iaitu Amirbek Juraboev (Tajikistan) dan Manuel Ott dari Terengganu FC yang bertugas sebagai jeneral tengah Sang Kenari pada musim depan.

Selain dua tonggak import berkenaan, Kedah juga diramalkan akan membawa masuk pemain dari Brazil yang mana difahamkan akan membantu memperbaiki jentera serangan pasukan berkenaan.

Sebelum ini, Kedah difahamkan merekrut pemain muda Brazil, Igor Jesus yang berpengalaman bermain untuk pasukan Shabab Dubai di Liga Pro UAE.

Bagaimanapun, khabar angin terbaharu mengaitkan penyerang dari negara Samba, Wilian Lira Sousa dijangka membantu menyelesaikan masalah penyudah Kedah.

Pada musim lalu, skuad Sang Kenari mengecewakan penyokongnya apabila penyerang import mereka, Ronald Ngah Wanja gagal memberikan persembahan terbaik terutamanya membantu untuk mencetak gol buat Kedah.

Ronald Ngah hanya mencetak 13 gol dalam 21 penampilan bersama Kedah dalam saingan Liga Super 2022.

Pemain berusia 29 tahun itu kini bermain untuk Venforet Kofu di liga divisyen dua Jepun dan dia dikenali sebagai penyerang berverstail tinggi.

Berdasarkan laman Transfermarket, pemain berketinggian 1.85 meter itu mencetak tujuh gol dalam 18 perlawanan dia diturunkan bersama Venforet Kofu sepanjang musim lalu.

WhatsApp Image 2023-01-03 at 6.40.37 PM

Tangkap layar Wilian mengucapkan selamat tinggal kepada Venforet Kofu di Instagram.

Dalam perkembangan terbaharu Wilian, dia mengucapkan selamat tinggal kepada kelab dan penyokong Venforet Kofu pada hantaran di laman Instagram miliknya.

"Terima kasih Venforet Kofu untuk dua tahun ini. Saya sangat berbesar hati dapat menyarung jersi ini. Terima kasih banyak pengurusan, penyokong dan semua yang terlibat," katanya.

Lebih mengujakan bahawa Wilian juga sudah mula mengikuti laman Instagram milik KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram