KETUA jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd Nafuzi Zain tekad menggalas tanggungjawab mengembalikan kegemilangan Sang Kenari walaupun perkara itu dilihat sebagai cabaran besar buatnya.
Mohd Nafuzi berkata, dia tidak gentar dengan cabaran itu dan menganggapnya sebagai laluan berliku yang harus dihadapi untuk menjadi seorang jurulatih pasukan bola sepak yang berjaya dan berkaliber.
"Bagi saya, sebagai seorang jurulatih kita perlukan cabaran. Kedah merupakan pasukan yang besar dan untuk mencipta sesuatu kejayaan, saya perlu lalui perjalanan berkenaan walaupun ia penuh berliku.
"Untuk berdepan dengan cabaran itu, saya ada cara tersendiri, taktikal dan formasi yang akan digunakan mengikut kualiti pemain yang kami ada dalam pasukan dan dari situlah segala perancangan akan dilakukan,” katanya pada Selasa.
Mohd Nafuzi berkata, dia juga berterima kasih kepada pihak pengurusan KDA FC kerana memberi sokongan dan kepercayaan 100 peratus kepada dirinya terutama dari segi pemilihan barisan pemain.
Menurutnya, ramai pemain muda membarisi senarai pemain KDA FC bagi musim ini yang walaupun kurang berpengalaman namun mempunyai kualiti yang diperlukan.
"Saya sebagai ketua jurulatih akan cuba sedaya upaya untuk memastikan persembahan terbaik dapat diberikan dan diterjemahkan dalam setiap perlawanan. Hebat atau tidak barisan pemain ini ia akan bergantung kepada keputusan pada perlawanan sebenar nanti jadi tunggu dan lihat,” katanya.
Mengulas mengenai kehadiran Lee Tuck dalam pasukan, Mohd Nafuzi berkata, dia yakin dengan pengalaman luas yang dimiliki pemain itu mampu membantu KDA FC menjadi pasukan yang lebih baik.
"Dia (Lee Tuck) pemain lama yang sudah lama bersama saya dan tahu selok-belok dan pengetahuan yang luas mengenai liga bola sepak negara. Saya tahu kelebihannya termasuklah mampu untuk bermain di banyak posisi jadi itu sudah pastinya dapat membantu pasukan Kedah,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram