SEJAK video seorang jurulatih menampar dua pemain bola tampar berlegar-legar di media sosial pada Ahad, ramai pihak yang tampil memberi respons dan prihatin terhadap perkara itu.
Kedua-dua pemain berkenaan dipercayai berumur bawah 14 tahun dan bertanding bagi Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 Malaysia 2022 di Johor, baru-baru ini.
Tindakan tidak wajar guru berkenaan dilakukan, dipercayai selepas pemain terbabit melepaskan mata kepada pasukan lawan pada 16 Disember lalu.
Lantaran itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) memutuskan untuk menggantung sementara jurulatih berkenaan.
Bukan itu sahaja, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan siasatan berhubung perkara itu bagi tujuan tatatertib.
Malah, tindakan jurulatih terbabit turut mendapat kecaman Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; serta bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Kekerasan secara mental dan fizikal oleh tenaga pengajar terhadap anak buah mereka bukanlah perkara baharu.
Jika dilihat, kes-kes seumpama itu dilihat sudah banyak kali berlaku sebelum ini, namun, tindakan setimpal yang mungkin menyedarkan si pelaku tidak semestinya akan membuka mata orang ramai untuk menjadikannya sebagai iktibar.
Berikut antara beberapa kes kekerasan tenaga pengajar terhadap pelajar yang pernah berlaku di negara ini dalam tempoh tiga tahun berturut-turut:
1) Februari 2020
Tangkap layar video memaparkan seorang guru bertindak membelasah anak muridnya.
Seorang guru lelaki bertindak menampar muka, menendang dan mencekik leher seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun di sebuah sekolah berasrama di Kota Setar, dekat Alor Setar, Kedah.
Menerusi video tular, kekerasan itu dilakukan di hadapan kumpulan pelajar lelaki yang berseluar dan baju sukan di dalam dewan sekolah berkenaan.
Video yang berdurasi 20 saat itu menunjukkan guru berkenaan marah dan mengeluarkan perkataan “betoi ka tak betoi?” serta “hang nak tunjuk samseng” di hadapan pelajar lain.
Siasatan awal polis mendapati, punca kejadian berlaku dipercayai akibat masalah dalaman, yang membuatkan guru berusia 30-an itu berang dan bertindak sedemikian.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
2) April 2021
Keadaan bibir bengkak dialami oleh murid sekolah rendah akibat ditampar oleh gurunya. — Kosmo
Seorang murid tahun satu dilapor mengalami kecederaan bibir bengkak dan berdarah akibat ditampar guru sekolah, dalam satu kejadian di sebuah sekolah di Kulai, Johor.
Memetik laporan media tempatan, ibu kanak-kanak malang itu, Ida Sofea Mohamed memberitahu, pihaknya kecewa kerana guru berkenaan memberi alasan bahawa anak lelakinya berusia tujuh tahun menangis dan tiada tanda hendak berhenti.
Jelasnya, guru lelaki tersebut dikatakan hilang sabar lalu menampar muka anaknya.
Tambah ibu kepada dua orang anak itu lagi, apabila dia bersemuka dengan guru berkenaan pada keesokan harinya, guru itu mengakui menampar anaknya.
"Saya juga berasa kecewa dengan jawapan diberikan guru besar sekolah berkenaan yang hanya berkata ‘benda dah jadi’.
"Bagi saya, guru besar sebagai seorang pemimpin perlu lebih profesional dengan memberi janji bahawa perkara seperti itu tidak akan berulang," katanya.
3) Julai 2022
Keadaan murid lelaki yang mengalami patah kaki akibat dihempas seorang guru KAFA. — Kosmo
Seorang murid lelaki tahun tiga dilapor mendakwa, kaki kanannya patah akibat dihempas oleh seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah di Marang, Terengganu.
Kejadian itu dipercayai berlaku sewaktu pengajaran KAFA, di dalam bilik darjah berkenaan pada 6 Julai lalu.
Sumber berkata, ibu mangsa berusia 36 tahun menyedari kecederaan dialami kaki kanan anaknya, sewaktu mengambil kanak-kanak itu pulang dari kelas pada pukul 5 petang.
Beliau berkata, mangsa berusia sembilan tahun kemudiannya telah dibawa ke klinik swasta berhampiran bagi pemeriksaan.
Tambah sumber, kekerasan tersebut dilakukan kerana guru KAFA berkenaan berang dengan perlakuan kanak-kanak lelaki terbabit di dalam kelas sebelum ini.
Menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram