KEPUTUSAN bintang naturalisasi negara, Lee Tuck memilih Kedah Darul FC (KDA FC) sebagai destinasi baharunya telah membuatkan Terengganu FC (TFC) terpaksa bekerja lebih keras untuk mencari pengganti pemain itu.
Selepas pemain berusia 34 tahun itu memutuskan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Sri Pahang FC, skuad Penyu juga antara pasukan yang berbaris bagi menyambar khidmat Lee Tuck.
Bagaimanapun, jeneral tengah pasukan kebangsaan itu memilih untuk bekerja kembali bersama Nafuzi Zain selepas dia pernah bekerjasama dengan pengendali itu dari 2018 hingga 2020 di Terengganu.
Tidak menunggu lama untuk mencari pemain pengganti Lee Tuck, pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu sudah mempunyai 'backup' lain untuk mengisi kekosongan kekosongan bahagian tengah Terengganu pada musim depan.
Khabar angin terbaharu apabila sebuah laman penyokong Terengganu, 11Terengganu di laman Twitter memberi petunjuk dengan memuat naik icon bendera Korea Selatan dan Singapura, ia seperti membawa maksud berkemungkinan pemain dari negara tersebut berada dalam senarai tonggak musim 2023.
Menjengah di ruangan komen ada yang mengatakan kuota slot import itu akan diisi oleh pemain kebangsaan The Lion City sama ada Amirul Adli ataupun bintang naturalisasi Korea Selatan-Singapura, Song Ui-yong.
Ui-yong kini mewakili Singapura dalam kejohanan Piala AFF 2022. — Instagram/Ui-yong
Nama Amirul Adli sebelum ini sememangnya berada dalam pemain buruan TFC, namun baru-baru ini dilaporkan pasukan Kelantan terlebih dahulu membuat gerak kerja untuk membawa masuk tonggak pertahanan itu.
Oleh itu, Ui-yong merupakan permain paling dekat dengan ciri-ciri pemain pilihan Terengganu berikutan dia boleh mengisi kekosongan sebagai jeneral tenggah Terengganu, sekali gus sebagai pilihan lain selepas terlepas khidmat Lee Tuck.
Ui-yong merupakan pemain bola sepak profesional Korea Selatan pertama yang diberi kerakyatan Singapura selepas berkelana di negara tersebut selama lebih daripada 10 tahun.
Pemain berusia 29 tahun itu boleh dikatakan salah seorang arkitek tengah yang paling berjaya dalam Liga Perdana Singapura dan terkenal dengan work rate tinggi serta mempunyai kemahiran teknikal hebat.
Bintang bola sepak kelahiran Incheon, Korea Selatan itu berpindah ke Singapura pada 2011 untuk menyertai pasukan Lion City Sailors dan Ui-yong sudah menabur bakti selama 12 musim bersama pasukan gergasi itu.
Bekas pemain Yeouido HS itu sudah berjaya tampil dalam 243 perlawanan dan menjaringkan 91 gol bersama pasukan Lion City Sailors yang sebelum ini dikenali sebagai Home United.
Ketika berada di bawah bimbingan Aidil Shahrin Sahak, Ui-yong diberi kepercayaan memainkan peranan untuk lebih menyerang selain mencuba posisi lain seperti pemain tengah menyerang, pemain sayap, penyerang kedua.
Di bawah kendalian bekas pengendali KDA FC itu, gandingan Ui-yong dan Aidil Shahrin berjaya menjadikan Lion City Sailors sebagai naib johan Liga Perdana Singapura 2018.
Namun, sehingga kini belum ada sebarang pengumuman rasmi dari pasukan Terengganu mengenai khabar angin mengaitkan Ui-yong dengan skuad Penyu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram