SELEPAS pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Liga Super bakal membuka tirainya pada 24 Februari, setiap pasukan pasti berhasrat untuk melakukan lebih baik.
Meskipun ketika ini seramai 25 pemain sedang berkhidmat bersama skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF 2022, ia tidak menghalang pihak kejurulatihan masing-masing untuk memulakan sesi latihan.
Setakat ini, beberapa pasukan dilihat sudah berada di tapak latihan untuk memastikan skuad untuk musim akan datang berada di tahap terbaik di samping memperkenalkan wajah-wajah baharu.
Bukan itu sahaja, malah ada juga kelab-kelab yang tidak henti-henti melakukan pembelian sepanjang jendela perpindahan bagi meningkatkan kualiti skuad berbanding musim lepas.
Antara pasukan tersebut ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC yang cukup bersemangat untuk melakukan rombakan dengan membawa masuk beberapa pemain di samping menyingkirkan sebilangan yang lain.
Setakat ini, pemain naturalisasi Harimau Malaya, Lee Tuck dan beberapa bakat muda sudah berjaya disambar bagi menggantikan tonggak pasukan yang tidak lagi bersama kelab Utara tanah air itu.
Tidak cukup dengan itu, skuad Sang Kenari juga bakal berwajah baharu untuk musim akan datang selepas mendapatkan khidmat bekas pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain.
Perubahan drastik yang dilakukan pihak pengurusan itu sememangnya sesuatu yang menakjubkan, apatah lagi apabila pasukan itu hanya berada di kedudukan kelapan Liga Super.
Mampukah mana-mana pasukan mencabar cengkaman JDT dalam Liga Super?
Malah, ada juga yang mula berasakan mereka sudah semakin bersedia untuk menjadi pencabar kepada takhta liga akan datang, sekali gus menamatkan dominasi Johor Darul Takzim (JDT) buat sembilan tahun berturut-turut.
Tetapi, bagi bekas ketua jurulatih Kedah FA, Azraai Khor, dia melihat masih terdapat pelbagai aspek yang perlu diubah kelab tersebut jika mereka mahu berada di persada bola sepak tempatan.
"Banyak perkara lagi yang perlu diubah. Kalau dilihat dalam kelab-kelab Liga Malaysia ini, banyak benda perlu ditambah baik, termasuk kemudahan asas dan padang latihan.
"Pihak pengurusan pun perlu memastikan mereka memiliki penaja yang mencukupi dan tidak mempunyai sebarang masalah kewangan pada masa akan datang," katanya kepada Majoriti.
Jelas jurulatih berusia 70 tahun itu, perubahan itu bukan sahaja perlu dilakukan KDA FC, malah kesemua pasukan dalam negara jika mereka mahu bergelar sebuah kelab lebih baik.
Azraai merupakan satu figura yang cukup dihormati dalam kalangan penyokong Hijau Kuning selepas dia pernah membantu skuad Sang Kenari muncul sebagai salah sebuah pasukan terbaik pernah disaksikan.
Ini termasuk kejayaan untuk menjulang tiga trofi dalam semusim buat dua tahun berturut-turut sehingga mendapat gelaran 'double treble' yang setakat ini masih belum boleh diulangi.
Skuad Sang Kenari bakal dikendalikan Nafuzi Zain musim depan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Sementara itu, ketika ditanya mengenai personaliti Nafuzi ketika bergelar seorang pemain, dia memberi pujian terhadapnya dengan menyifatkan jurulatih berusia 44 tahun itu sebagai seorang yang positif.
Namun, bagi Azraai, penyokong tidak boleh membuat penilaian terlalu awal meskipun dia berjaya membantu Terengganu FC muncul sebagai naib juara Liga Super 2022.
"Sepatutnya, perkara itu terlalu awal untuk dijawab. Malah, untuk Nafuzi sendiri, dia juga tidak boleh menegaskan 100 peratus bahawa dia akan berjaya atau tidak bersama KDA FC.
"Ini kerana kebanyakan pemain yang menyertai baru pertama kali berlatih bersamanya. Tapi, untuk tahu jika dia akan berjaya atau tidak, kita perlu tengok perlawanan pra-musim," katanya.
Musim lepas, kejayaan Nafuzi diiktiraf dunia bola sepak tanah air apabila skuad Sang Penyu mampu memberi cabaran sepanjang musim, termasuk mara ke pentas akhir Piala FA.
Secara individu pula, kebijaksanaan pengendali kelahiran Kelantan itu untuk menyusun barisan pemain membolehkannya dipilih sebagai jurulatih terbaik ketika Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram