SKUAD Kedah Darul Aman FC (KDA FC) antara yang terawal menjalankan latihan pra-musim 2023 dengan menyaksikan ketua jurulatih, Nafuzi Zain memulakan langkah mencari keserasian dalam kalangan anak-anak buahnya.
Latihan pertama di Padang MADA, Ampang Jajar pada Isnin menyaksikan hampir keseluruhan pemain tidak termasuk beberapa pemain kebangsaan dan import, turun menjalani sesi latihan tersebut.
Muka-muka baharu termasuk import dari Tajikistan, Amirbek Jurobaev antara yang mencuri tumpuan penyokong yang hadir memberikan sokongan pada sesi latihan terbuka berkenaan.
Di sebalik keterujaan melihat wajah-wajah segar dalam skuad Sang Kenari, ada satu perkara yang membuatkan penyokong Hijau Kuning berasa sedikit ralat.
Hal itu berkaitan dengan berat badan penjaga gol skuad utama KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim yang dilihat masih belum susut.
Menurut salah seorang penyokong, Zulfadzli Mohd Zuber, badan Ifwat kelihatan masih berisi ketika dia pertama kali turun untuk sesi latihan pra-musim KDA FC.
"Petang tadi (Isnin), pergi tengok, Ifwat badan tak turun lagi oooow," katanya.
Hadi Naka berpendapat, Ifwat perlu mengambil inisiatif menurunkan sedikit berat badan memandangkan prestasi di atas padang okey.
"Dia kena turunkan berat badan sikit ja. Bagi badan fit. Sebab performance dia okey," ujarnya.
Ifwat dinasihatkan untuk menurunkan berat badan ke tahap ideal bagi menghadapi cabaran musim 2023. — Facebook/ KDA FC
Pemain berusia 26 tahun itu juga dirasakan perlu mengurangkan berat badan bagi membolehkan dia lebih mudah melompat untuk menangkap bola tinggi.
"Ifwat satu je yang aku suka... bola kalau depan-depan atau aksi satu lawan satu, memang boleh kat dia tetapi kalau bola laju kot atas (udara), memang payah sikit dia nak tangkap," kata Nur Mohamed Mad.
Apiesndin Lifesstyle menambah, masalah berat badan berlebihan akan membuatkan Ifwat lebih mudah cedera dan kurang cergas.
"Dia badan besar tiada masalah, lagi bagus orang tak nampak pintu gol, dia tetap tangkas, yang jadi masalah dia akan kerap cedera apabila banyak bergerak, lepas tu tak fit," ujarnya.
Justeru, rata-rata penyokong yang mengambil berat isu berbangkit berhubung masalah berat badan penjaga gol kesayangan mereka itu menasihatkan agar Ifwat menurunkan berat badan ke tahap lebih ideal.
"Diet sikit brada (brother)...tengok-tengok penjaga gol luar ngara punya bentuk badan.
"Dah memang itu (jaga berat badan) untuk profesion hampa (anda)," kata Hazrin Jasni.
Pemain berketinggian 1.78 meter itu juga perlu menjaga badan demi kelangsungan kariernya dalam bola sepak. Jika dia masih bergelut dengan masalah berat badan, pemain itu mungkin akan 'kalah' dengan Kalamullah Al-Hafiz dalam perebutan kesebelasan utama pasukan.
Sebelum ini, bekas ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak pernah meminta Ifwat menurunkan berat badan secara drastik memandangkan berat badan pemain itu mencecah 90 kilogram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram