Kedah ‘haramkan’ semua premis judi, loteri berkuatkuasa 1 Januari


  • Primer
  • Ahad, 01 Jan 2023

SANUSI mengarahkan semua premis perjudian dan loteri di Kedah ditutup bermula Ahad.

SEMUA kedai perjudian di Kedah dihentikan operasi bermula 1 Januari seperti yang diarahkan oleh negeri itu.

Semakan di sekitar bandar menunjukkan premis itu semuanya telah ditutup dengan beberapa notis pemakluman yang ditampal untuk memberitahu pelanggan mengenai penutupan mereka atas arahan kerajaan negeri.

Kebanyakan pengusaha premis hanya membisu mengenai perkara itu dan akan menunggu arahan selanjutnya daripada syarikat masing-masing.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen kedai perjudian bermula tahun ini.

"Semua premis perjudian dan kedai tiket loteri di Kedah dihentikan operasi pada tengah malam Ahad. Kedah memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen perjudian mulai 1 Januari 2023," katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya.

Tambahnya, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diarah memantau pematuhan arahan tersebut. Beliau menambah bahawa keputusan untuk tidak memperbaharui lesen dibuat pada November 2021.

Pada 14 November 2021, Sanusi mengumumkan bahawa negeri Kedah tidak akan mengeluarkan lesen baharu atau memperbaharui lesen untuk perniagaan judi selepas tamat tempoh pada 31 Disember 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram