[VIDEO] Ajal tepi simpang, remaja maut rempuh belakang motosikal di Kedah


  • Tular
  • Selasa, 03 Jan 2023

Tangkap layar menunjukkan kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Alor Setar, Kedah pada Isnin.

SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan motosikal yang lain di Jalan Tunku Bendahara berhampiran Wisma Darul Aman dekat Alor Setar, Kedah pada Isnin.

Insiden itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam yang berada tempat kejadian dan dimuat naik semula melalui akaun Telegram Liputan 7 pada awal pagi Selasa.

"Kemalangan motosikal dekat simpang masuk Wisma Negeri, Alor Setar. Kejadian semalam (Isnin)," tulisnya.

Melalui rakaman video tersebut menunjukkan mangsa berbaju biru sedang menunggang motosikal di sebelah kiri jalan sebelum dilanggar seorang lagi penunggang motosikal yang secara tiba-tiba menukar laluannya dan membelok ke simpang sebelah kiri sekali gus menyebabkan mangsa tidak dapat mengelak.

Impak daripada perlangggaran tersebut menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal berkenaan terpelanting ke bahu jalan.

Menurut seorang pengguna Telegram, Khairulrizal, mangsa merupakan seorang remaja lelaki berusi 19 tahun dan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Budak baju biru itu meninggal di hospital, muda lagi kata kawan. Umoq (umur) baru 19 tahun. Sedekahkan Al-fatihah buat arwah.

"Bawa moto baju hitam itu mengalami kecederaan serius," tulisnya.

Sementara itu itu, memetik laporan media, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila dua motosikal itu dalam perjalanan dari arah Anak Bukit menuju bandar raya Alor Setar.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi lelaki berusia 45 tahun itu cuba memasuki susur kiri menuju ke Jalan Tunku Bendahara.

"Ketika itu, motosikal yang ditunggangi remaja yang datang dari arah belakang itu cuba memotong di sebelah kiri sebelum merempuh belakang motosikal lelaki terbabit.

"Kemalangan itu menyebabkan lelaki berusia 45 tahun itu patah tulang rusuk kiri serta mengalami pendarahan dalaman di kepalanya manakala remaja terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram