PENGUMUMAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk membariskan Azrin Afiq Rusimi sebagai antara tonggak pertahanan baharu Sang Kenari memberi kelegaan kepada penyokong pasukan Hijau Kuning.
Meskipun secara pinjaman dari pasukan Gergasi Merah, kehadiran pemain muda berusia 20 tahun itu dikatakan bakal menjadi penawar kepada kelemahan bek kiri Sang Kenari yang menjadi duri dalam daging pasukan itu sejak enam musim lepas.
Jika disoroti, pemain yang menyerlah di posisi itu ialah Azmeer Yusuf ketika dia bersama pasukan pada 2016 dan 2019 sebelum posisi itu bertukar pemain hampir setiap musim.
Antara yang pernah menggalas tanggungjawab di posisi itu termasuklah Fitri Omar, Norfiqrie Talib, Asri Mardzuki, Shakir Hamzah, Alif Yusof, Fandi Othman, Fairuz Zakaria, Ariff Farhan dan Azmeer Aris.
Selangor FC meminjamkan Azrin Afiq untuk saingan Liga Super 2023. — Facebook
Dalam tempoh tersebut, Kedah sudah menggunakan 10 pemain berbeza untuk posisi itu dan tentunya Azrin di bawah bimbingan jurulatih baharu, Nafuzi Zain diharap mampu mengembalikan posisi bek kiri ke tahap lebih baik.
Pemain kelahiran Klang, Selangor dan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu pernah bermain di posisi bek kiri, kanan, bek tengah (right-left side) dalam sistem tiga pertahanan.
Graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu juga tersenarai dalam barisan pemain skuad kebangsaan bawah 23 tahun untuk saingan Piala Asia AFC tahun lalu.
Bagi musim 2022, Azrin mendapat tiga penampilan dengan 147 minit perlawanan selain mencatat satu bantuan gol sebagai bek sisi kiri, berdasarkan data transfermarkt.com.
Azrin Afiq beraksi dengan KDA FC bagi musim 2023. — Facebook
Di skuad Sang Kenari, Azrin bukanlah orang asing kerana dia sebelum ini dipinjamkan selama setahun selepas mendapat persetujuan daripada kelab lamanya, Selangor FC.
KDA FC yang menyaksikan pertukaran barisan kejurulatihan bagi musim 2023 dengan Nafuzi mengetuai pasukan dapat memberi sentuhan segar kepada ubi muda itu.
Dengan tenaga mudanya, Azrin dirasakan mampu menambah kekebalan benteng Hijau Kuning bersama Akmal Zahir, Kamil Akmal, Heshamudin, Loqman, Ariff Farhan dan Rodney Celvin bagi saingan yang bermula Februari depan.
"Kalau dari AMD memang ada potensi, moga sukses bersama Kedah," kata seorang penyokong KDA FC, Cavami di Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram