PASUKAN pilihan Piala Malaysia, Selangor FC berjaya menepati ramalan dengan melangkah sebelah kaki ke pentas akhir Piala Malaysia, selepas menundukkan Terengganu FC dengan skor 3-1 di laman sendiri.
Selepas permulaan musim yang mengecewakan, nasib juara 33 kali Piala Malaysia itu jelas bertambah baik sejak kehadiran ketua jurulatih tanah air, Tan Cheng Hoe.
Dalam sembilan perlawanan bersama skuad Gergasi Merah, jurulatih berusia 54 tahun itu tidak pernah mencatatkan kekalahan, meskipun terpaksa berdepan saingan sengit pasukan Liga Malaysia.
Penyokong bersorak riang selepas Selangor menewaskan TFC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Rabu. — Facebook Selangor FC
Sudah pasti, penyokong Merah Kuning melonjak gembira akan perbezaan yang disuntik bekas pengendali Kedah FA itu, sekali gus percaya Selangor FC bakal menjadi satu ancaman kepada takhta Liga Super musim depan.
Hal itu adalah kerana mereka jelas tidak berpuas hati ketika berada di bawah bimbingan pengendali kelahiran Jerman, Michael Feichtenbeiner sebelum ini.
Pemain Selangor dianggap lebih memahami Cheng Hoe berbanding Feichtenbeiner. — Facebook Selangor FC
Ketika berada di bawah kendalian jurulatih berusia 62 tahun itu, pasukan Lembah Klang itu hanya menduduki tangga ketujuh dengan hanya merekodkan lima kemenangan.
Selepas itu, tanggungjawab itu digalas pembantunya, Nidzam Jamil yang juga gagal untuk membawa sebarang perubahan sehingga menyaksikan skuad Gergasi Merah menduduki tangga kesembilan.
Bagaimanapun, episod gelap itu dilihat berjaya dipadam Cheng Hoe sehingga membantu Selangor FC mendaki carta liga dengan menamatkan saingan di tangga kelima.
Pekan Ramli
DNA Jerman
Sentuhan itu menerima pujian pelbagai pihak, termasuk pemerhati bola sepak, Dr Pekan Ramli yang terbuka untuk berkongsi pandangannya akan perubahan yang dibawa bekas jurulatih kebangsaan itu.
Beliau menyifatkan bahawa corak permainan yang cuba dirancang oleh Feichtenbeiner, atau lebih dikenali sebagai DNA Jerman itu sebagai gagal.
Feichtenbeiner ketika mengendalikan Selangor FC. — Agensi
Namun, baginya, kegagalan itu bukanlah disebabkan DNA Jerman, sebaliknya disebabkan jurulatih itu sendiri.
"Saya lihat terlalu banyak eksperimen yang dilakukan oleh beliau dalam konteks percaturan pemain, yang sepatutnya bermain dalam skuad utama atau kesebelasan utama, kelemahan strategi dan taktikal permainan.
"Sebaliknya, Cheng Hoe menggunakan pengalamannya sebagai bekas jurulatih kebangsaan dengan bijak, serta berjaya mengenalpasti 'raw material' yang Selangor ada, tetapi tidak di 'utilise' sepenuhnya oleh jurulatih Jerman sebelum ini," katanya kepada Majoriti.
Cheng Hoe sebelum ini pernah membimbing Kedah pada 2014 hingga 2017 dan membantu pasukan itu menjuarai trofi Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.
Beliau dianggap sebagai salah seorang jurulatih berpengaruh di Malaysia selepas menjadi pengendali Harimau Malaya sejak 2018, sebelum meletakkan jawatan awal tahun ini ekoran prestasi hambar skuad negara pada kempen Piala AFF 2020.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Feichtenbeiner menegaskan bahawa, DNA yang diterapkan di Selangor FC adalah disusun khas untuk pasukan Gergasi Merah dan ia bukanlah DNA Jerman seperti yang diuar-uarkan selama ini.
Reaksi Cheng Hoe ketika perlawanan Selangor menentang Terengganu pada Rabu. — Facebook Selangor FC
Magis Cheng Hoe
Mengulas lanjut, Pekan menganggap bahawa, Cheng Hoe menggunakan pengalamannya sebagai jurulatih tempatan sebagai suatu kelebihan, yang mana beliau lebih memahami budaya bola sepak Selangor berbanding jurulatih Jerman itu.
Pekan berkata, resipi tempatan amalan Cheng Hoe itu sebenarnya lebih difahami dan diadaptasi oleh pemain Selangor dengan cepat.
Apatah lagi, katanya, kebanyakan pemain Selangor lebih mengenali dan memahami Cheng Hoe berbanding Feichtenbeiner.
"Itu sebabnya proses asimilasi corak permainan Selangor berubah begitu drastik seolah-olah inilah 'Gergasi Merah Kuning', yang sepatutnya digeruni oleh mana-mana pasukan yang bakal ditemui," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram