'Belum lagi', legenda Kedah jawab tawaran terbuka, penyokong ingatkan kes TCH


  • Podium
  • Rabu, 16 Nov 2022

Penyokong Kedah berbelah bahagi kepulangan legenda mereka. — Facebook KDA FC

BERITA perselisihan Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain dengan pihak pengurusan semakin menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air terutamanya penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Bermula daripada isu penyerahan surat melalui 'kitman', krisis antara kedua-dua pihak itu akhirnya disudahkan dengan lafaz 'cerai' daripada Nafuzi yang menolak tawaran untuk terus mengemudi Sang Penyu.

Dengan perkhabaran itu, penyokong Kedah semakin yakin bahawa destinasi Nafuzi seterusnya adalah ke Jelapang Padi, ditambah dengan kapsyen ringkas bekas ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah di Facebook berserta gambar lama Nafuzi sebagai pemain.

"Selamat datang," tulis Azraai yang merupakan 'tok guru' kepada Nafuzi ketika jurulatih kelahiran Kelantan itu beraksi bersama Kedah pada musim 2007.

Walaupun 99 peratus boleh dikatakan Nafuzi akan bersama Kedah pada musim depan, penyokong tidak terlepas pandang tawaran seorang lagi bekas legenda Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mengemudi skuad simpanan Hijau Kuning.

Nafuzi-1-2

Nafuzi semakin hampir menyertai KDA FC pada musim depan. — Facebook TFC

Nelson San Martin bukan nama asing dalam kalangan penyokong Kedah selepas menyumbang kudrat untuk membantu skuad Lang Merah menggapai gelaran double treble pada musim 2006 dan 2007.

Dengan perubahan format Liga Super pada 2023, setiap kelab kini diwajibkan untuk menghantar empat pasukan dalam saingan Liga Super, Liga Simpanan, Piala Belia dan Piala Presiden.

Kedah difahamkan cuba memancing Ketua Jurulatih sementara Penang FC, Manzoor Wira untuk mengemudi skuad simpanan mereka, tetapi pelawaan itu ditolak.

Perkembangan itu membuka ruang kepada Nelson yang tanpa ragu-ragu menawarkan diri untuk mengisi posisi tersebut.

Ditanya sama ada bekas pemain berusia 42 tahun itu menerima maklum balas daripada Kedah, dia hanya menjawab ringkas.

"Belum lagi," katanya kepada Majoriti.

Nelson

Nelson ketika beraksi bersama KDA FC.

Sama ada Kedah sudi mengambilnya atau tidak, penyokong Hijau Kuning masih berbelah bahagi untuk melihat bekas bintang kesayangan mereka itu kembali ke Jelapang Padi.

Bagi Muss Dabomb, rekod Nelson sebagai pemain sememangnya cemerlang tetapi ia bukan ukuran untuk Kedah mengambilnya sebagai jurulatih.

"Pemain yang bagus belum tentu seorang jurulatih yang bagus.

"Track record yang baik di Kedah sebagai pemain tapi belum tentu ada rekod yang baik sebagai jurulatih.

'Semak dulu resume beliau sebagai jurulatih, kelayakan lesen coach, kelab yang pernah dilatih, pencapaian kelab.

"Jangan esok dah tengah liga, team ceroi lepas tu #out la bagai," komennya.

Berdasarkan rekod, Nelson pernah membimbing seketika skuad Langkawi FC, namun rekodnya bersama kelab itu tidak dapat dipastikan.

Turut bersetuju, Wan Arul mengakui bahawa Nelson antara bintang import yang paling menyerlah pada era kegemilangan Kedah.

Namun katanya, Kedah perlu menilai rekod dan resume Nelson sebagai jurulatih dan tidak perlu terburu-buru.

"Jangan tangkap muat, kalau resume dan rekod cantik, boleh terima.

"Kalau tak, jangan perjudikan pasukan. Biar ketua jurulatih dan pengarah teknikal tentukan kriterian jurulatih pasukan presiden supaya berbaloi untuk diserapkan pemain ke pasukan utama," tulisnya.

Namun ada juga penyokong Kedah yang mahu pihak pengurusan bertindak pantas menyambar Nelson.

Nik Zakaria membuat perbandingan Nelson seperti kes bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang kini bersama Selangor FC.

"Nelson dah tawarkan diri, tunggu apa lagi sambar terus la.

"Kalau pasukan lain ambil dan jadi bagus, KDA FC tengok saja la pasukan lain hebat.

"Macam pasukan utama juga. Jika tukar jurulatih lebih awal, mungkin tak jadi teruk sangat.

"Cheng Hoe masa tengah kosong (tiada kelab), tiada pasukan yang ambil. Lepas Selangor ambil Cheng Hoe jadi jurulatih, terus dapat main separuh akhir Piala Malaysia," katanya.

Nelson merupakan pemain Kedah yang memenangi gelaran double treble pada musim 2006 dan 2007 sebelum berhijrah ke beberapa kelab luar termasuk di Thailand, Singapura dan Chile selepas Liga Malaysia mengharamkan penggunaan pemain import.

Dia kemudiannya kembali bersama Kedah pada 2013 sebelum menamatkan karier pada 2015 di Terengganu.

Bekas pemain berusia 42 tahun itu merupakan kelahiran Chile dan bermain di posisi tengah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram