'Mood Gergasi Merah makin positif, TCH mahu pemain tumpu misi sebelum Piala Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Cheng Hoe (baju putih) berjaya memulakan karier kejurulatihannya bersama Selangor FC dengan cemerlang. — Facebook/Selangor FC

SELEPAS kemenangan ke atas Melaka United Sabtu lalu, karier kejurulatihan pengendali baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe kelihatan bermula dengan langkah kanan menerusi keputusan itu.

Persembahan di atas padang juga tidak kurang hebatnya apabila segala hantaran yang dibuat jarang mengecewakan penyokong selepas seberapa lama berasakan pasukan itu bergelut.

Manakan tidak, skuad Gergasi Merah ketika ini berada di kedudukan kelapan yang pastinya mahu ditambah baik sebelum musim Liga Super melabuhkan tirainya.

Oleh itu, dalam perlawanan bersama Petaling Jaya (PJ) City FC Jumaat ini, Selangor FC semestinya akan turun dengan semangat berbeza untuk membawa tiga mata penuh.

Bagi ketua jurulatih itu, dia berpuas hati dengan sesi latihan yang dihadapi pasukan dan melihat tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan terbaik.

309621971_521251980006535_8822028049242874408_n

Cheng Hoe mula membuktikan kebolehannya ketika bertemu Melaka United FC. — Facebook/Selangor FC

"Untuk minggu ini, saya nampak pemain komited ketika turun berlatih dan kita tahu, suasana latihan selepas kemenangan ke atas Melaka United adalah sangat ceria.

"Kita juga berharap agar tempoh itu berpanjangan dan memperbaiki kelemahan-kelemahan dan saya harap pemain bersedia ketika berdepan PJ City FC," katanya kepada Majoriti.

Tambah bekas pengendali Kedah FA dan Harimau Malaya itu, dia tidak menafikan kemampuan pasukan Lembah Klang itu apabila berjaya mengumpul lapan mata daripada lima perlawanan.

"Seperti kita tahu, mereka sebelum ini bermain dengan cukup baik dan keputusan yang terbaik. Selain itu, dari segi pertahanan, mereka cukup kental.

"Jadi, kita perlu berwaspada dan memberi perhatian secukupnya kepada kemampuan mereka untuk melancarkan serangan balas dan dalam masa sama, kami perlu mencari peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Selangor FC sebelum ini berjaya menundukkan skuad Hang Tuah dengan skor 5-0, sekali gus menambah baik kumpulan mata dalam mengejar pasukan di tangga ketujuh, Sri Pahang FC.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran dalam Piala Malaysia akan datang, Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya memberi tumpuan penuh dalam baki-baki perlawanan Liga Super.

"Untuk tiga pertembungan ini, kita memang mahu fokus untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang. Dengan undian Piala Malaysia sudah dibuat, kita perlu beri perhatian penuh," ujarnya.

Selepas berdepan PJ City FC, skuad Gergasi Merah bakal berdepan Sarawak United FC sebelum berkunjung ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang untuk menutup tirai liga dengan pertembungan bersama Penang FC.

Ketika ini, Selangor FC berkemungkinan berdepan juara Liga Super, Johor Darul Takzim dan perkara itu pastinya memberi amaran buat Cheng Hoe dalam menambah baik kedudukan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram