SATU permulaan yang baik buat jurulatih baharu Selangor FC, Tan Cheng Hoe apabila membawa skuad The Red Giants menang 5-0 ke atas Melaka United pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu lepas.
Kemenangan itu jelas membawa kegembiran kepada penyokong skuad Merah Kuning dan satu kenangan manis buat bekas jurulatih kebangsaan selepas kembali ke kancah Liga Malaysia.
Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Nor Hakim Hassan pada minit ke-16, Mukhairi Ajmal (32) Brendan Gan (66 dan 78) serta jaringan penalti pemain import Herlison Caion pada minit akhir perlawanan.
Selain pujian diberikan kapten pasukan, Brendan diberikan Man Of The Match (MOTM) usai perlawanan itu, tonggak muda Selangor, Mukhairi juga tidak terlepas dipuji oleh para penyokong kerana persembahan cemerlangnya.
Mukhairi (kiri) ketika sesi latihan di bawah Cheng Hoe. — Facebook/Selangor FC
Kapten Harimau Muda itu dipuji kerana rembatan deras luar kotak penalti yang mana menghasilkan jaringan gol pada minit 32.
Selepas aksi yang cukup mengagumkan diberikan oleh Mukhairi, ada penyokong melihat pemain berusia 20 tahun tersebut merupakan ‘The Next Baddrol Bakhtiar’ jika Cheng Hoe kerap menggunakan khidmatnya musim depan.
Hal ini kerana, Cheng Hoe dikenali sebagai jurulatih yang gemar menggunakan pemain tempatan sebagai ‘playmaker’ pasukan dan sewaktu melatih Kedah Darul Aman (KDA FC) sebelum ini, Cheng Hoe sering menggunakan Baddrol sebagai ‘arkitek’ utama.
Baddrol meninggalkan Kedah pada penghujung musim 2021. — Facebook/Selangor FC
“Baddrol Bakhtiar, Mukhairi Ajmal. Tan Cheng Hoe suka beri kepercayaan kepada pemain tengah tempatan sebagai arkitek utama. Di Kedah dan kadangkala skuad Malaysia, Cheng Hoe banyak gunakan khidmat Baddrol Bakhtiar. Adakah Mukhairi bakal diasah seperti Baddrol Bakhtiar,?” tulis pengguna Instagram, palatao_bola.
“Masa pegang Kedah, Tan Cheng Hoe (TCH) suka gunakan Baddrol Bakhtiar untuk terus buat change side, long ball ke winger. Masa jadi jurulatih Malaysia, TCH suka gunakan Azam Azih. Ini di Selangor, TCH nak grooming Mukhairi Ajmal,” sokong penyokong Selangor, zkri9227infobola.
Bakat 'ubi muda' seperti Mukhairi juga diperakui Cheng Hoe dan dia berharap agar pemain-pemain muda The Red Giant terus konsisten dalam permainan akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram